Tony Pua didakwa persenda institusi Agong, UMNO gesa tindakan tegas

Hantaran Facebook Asyraf Wajdi pada Rabu.
Hantaran Facebook Asyraf Wajdi pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua susulan hantaran di Facebook yang didakwa mempersendakan institusi Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, selain mempersenda, Tony jelas turut mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam Lembaga Pengampunan.

Menurut beliau, kenyataan berkenaan turut mengundang komen pengguna media sosial yang didakwa menghina seorang Raja Berdaulat.

"UMNO ingin bertanya apakah pihak berkuasa Kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Peguam Negara boleh membiarkan perkara seumpama ini.

"Kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas akan memberikan isyarat yang salah bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri takut untuk bertindak terhadap DAP," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Rabu.

Asyraf Wajdi turut mendakwa tindakan Tony itu bukan kali pertama kerana sebelum ini beliau pernah mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung penghayatan terhadap Rukun Negara.

"Kebiadapan melampau ini tidak boleh dimaafkan tetapi mesti dikenakan tindakan tegas," tegasnya lagi.

Beliau turut memberi nasihat bahawa kegagalan pihak berkuasa bertindak dikhuatiri boleh mencetuskan kemarahan masyarakat Melayu sehingga membawa kepada keadaan yang tidak dapat dijangkakan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!