Pendedahan salah laku hakim hanya melalui RCI

Mohamed Haniff Khatri
Mohamed Haniff Khatri
A
A
A

PUTRAJAYA - Peguam Mohammed Haniff Khatri Abdulla berkata, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer hanya akan membuat pendedahan lanjut mengenai salah laku hakim dalam kehakiman seperti yang diikrarkan dalam satu afidavit sebelum ini melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Menurut Mohamed Haniff Khatri, dakwaan yang dibuat perlu disiasat oleh badan bebas dan bukan melalui agensi-agensi penguatkuasaan termasuk Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya siasatan oleh agensi penguatkuasaan adalah tidak bersesuaian kerana akan mengundang rasa tidak selesa pihak-pihak lain untuk turut sama memberikan maklumat.

"Maklumat tersebut akan mendedahkan pihak lain termasuk pihak-pihak dalam kehakiman, hakim-hakim junior termasuk hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret berada dalam keadaan tidak selesa untuk beri maklumat lanjut,"katanya.

Menurutnya melalui satu pertemuan bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Azam Baki bersama beberapa pegawai agensi itu awal pagi tadi, anak guamnya (Hamid Sultan) telah menjelaskan, perkara yang diikrarkan beliau sebelum ini mewajibkan penubuhan RCI.

"Satu jawatankuasa siasatan khas perlu diadakan. Selagi jawatankuasa siasatan khas bagi penubuhan RCI tidak diwujudkan, tidak molek untuk beliau beri penjelasan lanjut," katanya.

Sehubungan itu, katanya beliau mencadangkan kepada SPRM supaya memaklumkan kepada kerajaan bahawa siasatan lanjut hanya boleh dilakukan melalui jawatankuasa siasatan khas penubuhan RCI.

Sementara itu, menurut Mohamed Haniff Khatri, jawatankuasa siasatan khas perlu ditubuhkan dalam tempoh tiga hingga lima bulan yang dianggotai enam orang termasuk tiga bekas hakim, seorang bekas peguam dan seorang bekas pegawai dari Jabatan Peguam Negara dan seorang bekas pegawai Kehakiman.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya kesemua jawatan siasatan khas yang dilantik perlulah dalam kalangan mereka yang telah lama bersara bagi memastikan mereka bebas daripada aligasi-aligasi yang disebutkan.

"Dalam tempoh itu semua pihak dalam kehakiman diberi peluang membuat aduan lanjut dan jawatankuasa khas yang dilantik perlu menentukan merit daripada aduan-aduan yang dikemukakan,"katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta menteri bertanggungjawab membawa perkara yang pernah dibangkitkan beliau sejak 31 Ogos lalu itu kepada kabinet secepat mungkin.

"Ini sestatu yang sangat penting selepas Hakim yang masih berkhidmat berani dan sanggup membuat pendedahan demi membersihkan sistem kehakiman di negara ini,"katanya.

Hakim Hamid, dalam afidavitnya setebal 63 muka surat kelmarin sebagai sokongan kepada permohonan oleh Sangeet Kaur Deo, mendedahkan, antara lain, butiran yang mengejutkan mengenai beberapa kejadian campur tangan hakim dalam badan kehakiman di Malaysia.

Ia termasuk campur tangan dalam keputusan rayuan kes hasutan Karpal Singh di Mahkamah Rayuan.