X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 04 Disember 2021

Ebit Lew luang masa ziarah keluarga dua beradik lemas

Ebit ketika meninjau keadaan jambatan tempat dua beradik itu terjatuh sebelum dihanyutkan arus di Kampung Rekoh. Foto: Facebook Ebit Lew
A
A

ROMPIN - Kejadian dua beradik mati lemas setelah terjatuh dari jambatan di Kampung Rekoh, di sini mendapat perhatian pendakwah terkenal, Ebit Lew apabila beliau meluangkan masa menziarahi keluarga kanak-kanak malang itu pada Jumaat.

Ebit yang memuatnaik hantaran di laman Facebook miliknya turut berkongsi rasa sedih dengan kejadian yang menimpa keluarga terbabit.

Melalui hantaran itu, beliau memaklumkan turut menghulurkan sumbangan bagi membaiki jambatan yang rosak hingga mengundang tragedi meragut nyawa kanak-kanak itu.

"Sayu rasa hati bila dengar dua adik comel lemas di Kampung Rekoh di mana sebelum kejadian, ibunya membawa mereka dengan menaiki motosikal ke klinik kerana kedua-duanya deman.

"Dah ambil ubat masa perjalanan balik, motosikal dinaiki tersangkut dan kedua anaknya terjatuh ke dalam sungai. Hampir dua hari hilang. Hari ini dijumpai dan dekat Asar tadi selesai pengkebumian. Innalilahi wa inna ilaihi rajiun,"ujarnya melalui hantaran itu.

Beliau turut berjumpa ketua kampung bertanya mengenai jambatan itu.

"Saya beri belanja untuk baiki pagar jambatan yang sudah rosak kerana banjir. Keadaannya yang licin boleh mendatangkan bahaya jika tiada pagar.

"Ahad ni mereka akan buat pagar dawai sepanjang jambatan itu. Saya lalu tadi sedih rasa bila lihat pagar dawai semua dah berlubang,"katanya.

Jelas Ebit, beliau risau dengan keadaan itu dan bimbang kejadian sama berulang kerana ramai penduduk menggunakan jambatan tersebut untuk hantar anak ke sekolah dan urusan lain di seberang.

"Saya doakan jambatan baharu yang lebih baik dapat dibina disini dengan segera,"ujarnya.

Dalam kejadian pada Rabu lalu, dua beradik, Putri Rama Dhania Azahra Masari,3, dan kakaknya Dhenis Maulida Putri,7, dikhuatiri lemas apabila terjatuh daripada jambatan gantung sebelum dihanyutkan arus.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 11.15 pagi itu kedua-dua mangsa membonceng motosikal yang ditungggang ibunya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka

Difahamkan, motosikal yang dinaiki tiga beranak itu hilang kesimbangan dan tumbang di atas jambatan menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh ke dalam sungai.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa segera digerakkan melubatkan 30 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi SAR ditamatkan selepas mayat dua beradik itu berjaya ditemui pada malam Khamis dan pagi Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat dua beradik jatuh sungai ditemui


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!