Kes Ebit Lew: Sistem perisian gagal kenal pasti mesej dipadam

Ebit ketika tiba bagi menghadiri perbicaraan berkaitan kes yang dihadapinya di Mahkamah Majistret Tenom pada Rabu.
Ebit ketika tiba bagi menghadiri perbicaraan berkaitan kes yang dihadapinya di Mahkamah Majistret Tenom pada Rabu.
A
A
A

TENOM - Saksi ketujuh kes perbicaraan pendakwah terkenal, Ebit Lew memberitahu kepada mahkamah bahawa sistem perisian XRY yang digunakan untuk memproses analisis telefon bimbit gagal mengenal pasti mana-mana data yang dipadamkan daripada barang kes.

Juruanalisis Kanan Siasatan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superintenden Latifah Abdul Aziz berkata demikian ketika ditanya peguam bela Ram Singh, adakah beliau mengekstrak mana-mana mesej yang telah dipadamkan di dalam telefon bimbit Samsung Galaxy A31 milik pengadu dalam kes itu.

"Tidak. Maksud saya sistem memang tidak dapat kesan mana-mana data yang dipadam daripada bahan bukti," katanya ketika menjawab pemeriksaan balas di Mahkamah Majistret Tenom pada Rabu.

Ditanya lanjut, adakah jawapannya itu disebabkan sistem dalam PDRM tidak membenarkannya berbuat demikian.

"Tidak, maksud saya bukan sistem yang tidak membenarkan saya untuk menjalankan pengekstrakan terhadap data yang telah dipadam.

"Ia bermaksud sistem tersebut tidak dapat mengenal pasti apa-apa data yang telah dipadam daripada barang kes tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Latifah turut bersetuju bahawa dia tidak diarahkan untuk mendapatkan semula mesej yang telah dipadam.

Bagaimanapun, Latifah tidak pasti bahawa dengan mendapatkan semula mesej yang telah dipadam adalah penting untuk tertuduh melakukan pembelaan dan pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Malah, Latifah juga tidak pasti bahawa dengan mendapatkan semula mesej yang dipadam adalah penting di mahkamah untuk mendedahkan kebenaran perbualan antara tertuduh dan pengadu.

Sebelum itu, dalam perbicaraan pada Mei lalu, Latifah memberitahu kepada mahkamah hasil daripada analisis yang diperolehnya daripada telefon bimbit Samsung Galaxy A31 selepas diekstrak ialah sebanyak 436 gambar, empat video daripada 8010 kandungan barang kes.

Ebit atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah yang bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Beliau diwakili oleh barisan peguamnya iaitu Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Nizam Salleh Keruak manakala pihak pendakwaan dibarisi oleh Nor Azizah Mohamad serta Zahida Zakaria dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.