Kes Ebit Lew: 8 gambar diekstrak daripada telefon Firdaus Wong

Ebit tiba di mahkamah bersama barisan peguamnya bagi menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom.
Ebit tiba di mahkamah bersama barisan peguamnya bagi menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom.
A
A
A

TENOM - Mahkamah diberitahu hanya lapan daripada 118,032 imej gambar yang dipilih daripada telefon bimbit jenis iPhone XS Max milik pendakwah bebas, Firdaus Wong.

Juruanalisis Kanan Siasatan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asistan Superintenden Latifah Abdul Aziz berkata, gambar lain selain daripada lapan gambar yang dipilih itu tiada kaitan dengan arahan pegawai penyiasat.

Latifah yang merupakan saksi ketujuh dalam kes perbicaraan pendakwah terkenal Ebit Lew bersetuju bahawa daripada lapan item yang dikeluarkan adalah 'originally recovery' dan beliau turut diminta untuk menerangkan mengenai perkataan itu.

"Perkataan 'originally recovery' yang dikemukakan dalam laporan analisis saya di muka surat empat dikeluarkan oleh sistem itu sendiri lapan gambar yang dipilih berkaitan dengan permohonan pegawai penyiasat daripada barang telah dikeluarkan daripada keseluruhan gambar yang diperoleh daripada barang kes iaitu sebanyak 118,032 gambar," katanya.

Latifah berkata demikian ketika menjawab pemeriksaan balas oleh peguam yang mewakili Ebit Lew, Ram Singh di Mahkamah Majistret Tenom pada Khamis.

Ketika ditanya adakah 118,032 gambar yang dinyatakan adalah imej daripada telefon bimbit iPhone XS Max, Latifah bersetuju mengenainya.

Latifah juga bersetuju bahawa 'path' bukti yang dikemukakan dalam laporan adalah gambar yang diekstrak daripada kumpulan sembang WhatsApp namun tidak mengetahui kumpulan sembang WhatsApp yang mana satu.

Bagaimanapun, Latifah memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mengetahui gambar itu dimajukan (forwarded) daripada telefon bimbit lain.

Artikel Berkaitan:

"Daripada 'path' tersebut, saya tidak dapat pastikan gambar-gambar yang dirujuk adalah dari sumber yang mana," jelasnya di mahkamah.

Beliau dalam pada itu bersetuju bahawa tiga daripada lapan gambar yang terhasil iaitu 2 Januari 1980 tidak selari dengan garis masa pertuduhan.

Pada perbicaraan 22 Jun lalu, Latifah memberitahu mahkamah bahawa beliau menerima barang kes satu unit telefon bimbit iPhone warna putih model iPhone XS Max untuk dijalankan analisis mengikut permohonan daripada pegawai penyiasat iaitu sebarang maklumat, bahan, perbualan, data dan lain-lain yang mengandungi unsur seksual.

Firdaus Wong atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung merupakan saksi ketiga dalam kes Ebit Lew dan telefon bimbit miliknya jenama iPhone XS Max telah dirampas pada 28 September 2021.

Sebelum itu, Ebit atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah yang bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Beliau diwakili oleh barisan peguamnya iaitu Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Nizam Salleh Keruak manakala pihak pendakwaan dibarisi oleh Nor Azizah Mohamad serta Zahida Zakaria dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.