Covid-19: Kes meningkat, 3,142 kes baharu

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kes positif Covid-19 terus melonjak apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 3,142 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes 401,593.

Menurutnya, terdapat 13 kes import dan 3,129 adalah penularan dalam negara membabitkan 2,950 rakyat tempatan dan 179 warga asing.

"Kes aktif di seluruh negara adalah 26,719 kes termasuk 306 pesakit Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi.

"Sebanyak 151 pesakit pula memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, KKM menerima 15 kes kematian berkaitan Covid-19.

"Kesemua adalah rakyat tempatan yang berusia 30 hingga 84 tahun dan mempunyai penyakit kronik.

"Laporan kes kematian itu adalah enam di Sarawak, Kelantan (dua) dan masing-masing satu kes di Johor, Selangor, Sabah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan serta Pahang.

Artikel Berkaitan:

"KKM mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga," katanya.

Noor Hisham berkata, terdapat 1,822 kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya 373,397.

Mengulas mengenai penularan dalam negara, beliau berkata, Selangor kekal melaporkan kes tertinggi dengan 1,019 kes.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 819 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat kes positif Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan," katanya.

Beliau berkata, Kelantan berada di tangga kedua dengan 523 kes diikuti Kuala Lumpur (440) dan Sarawak (416).

"Johor (194), Kedah (120), Pulau Pinang (98), Sabah (87), Perak (69), Melaka (42), Terengganu (40), Pahang (15), Putrajaya (13), Labuan (empat) dan Perlis (satu)," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 12 kluster baharu Covid-19 telah dikenal pasti KKM melibatkan empat kluster sektor pendidikan termasuk dua kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Ia adalah Melugui (Sarawak), Masai (Sabah), Layar Hujung (Kedah) dan Jalan Gombak Dua (Selangor)," katanya.

Menurutnya, Ulu Stress (Sarawak), Jalan Maharajalela (Perak), Taman Wira (Johor), Pintu Air Relau (Kedah) merupakan kluster komuniti yang baharu.

"Dua kluster tempat kerja adalah Jalan Rimbunan (Kuala Lumpur) dan Jalan Bakariah (Johor) manakala Jalan Sekinchan (Selangor) merupakan kluster kumpulan berisiko tinggi.

"Kluster keagamaan adalah Lembah Gambus yang dikesan di Selangor," katanya.

Katanya, sejak pandemik Covid-19 melanda negara Mac tahun lalu, 1,626 kluster telah dikenalpasti.

"Daripada jumlah itu, 1,256 kluster telah diisytiharkan tamat dan 370 merupakan kluster aktif," katanya.