Polis selamatkan 8 pelajar pusat tahfiz dakwa didera

Lapan pelajar lelaki diselamatkan selepas mendakwa didera pemilik sebuah pusat tahfiz di Ampang.
Lapan pelajar lelaki diselamatkan selepas mendakwa didera pemilik sebuah pusat tahfiz di Ampang.
A
A
A

AMPANG - Polis menyelamatkan lapan pelajar lelaki berusia antara tujuh hingga 15 tahun yang mendakwa didera oleh pemilik sebuah pusat tahfiz di Taman Tun Abdul Razak di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya turut menahan sepasang suami isteri berusia 32 dan 52 tahun yang merupakan pemilik pusat tahfiz terbabit pada jam 3.45 petang.

"Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut.

"Kita sedang merakam percakapan mereka dan menunggu laporan pemeriksaan hospital untuk mengetahui ada unsur penderaan atau tidak," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, kejadian itu terbongkar apabila salah seorang ibu pelajar berkenaan berjumpa dengan anaknya untuk membayar yuran di pusat tahfiz tersebut pada Jumaat.

Mohamad Farouk
Mohamad Farouk

"Wanita itu mendapati anaknya berada dalam keadaan ketakutan dan menangis sambil memeluknya dan menyatakan hasrat tidak mahu bersekolah di situ lagi," katanya.

Beliau berkata, ibu mangsa kemudian telah membawa anaknya pulang ke rumah.

Artikel Berkaitan:

"Anaknya mendakwa suspek telah menumbuk belakang tengkuknya, malah dipukul dengan rotan di bahagian kaki dan tangan sehingga kecederaan di seluruh tubuh badannya.

"Selain itu isteri suspek pula didakwa ada menampar mangsa di pipi sebanyak empat kali," katanya.

Mohamad Farouk berkata, semakan ke atas pusat tahfiz itu tidak mempunyai sebarang lesen daripada kerajaan tempatan dan tiada kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Kita telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.