Ismail Sabri bawa isu LCS ke mesyuarat Kabinet

Ismail Sabri menyempurnakan gimik perasmian stesen minyak BHPetrol berkonsepkan PCS pertama di kem tentera di Pangkalan TLDM Lumut sempena lawatan kerjanya pada Isnin.
Ismail Sabri menyempurnakan gimik perasmian stesen minyak BHPetrol berkonsepkan PCS pertama di kem tentera di Pangkalan TLDM Lumut sempena lawatan kerjanya pada Isnin.
A
A
A

LUMUT - Isu penangguhan penyediaan kapal peronda generasi kedua kapal tempur pesisir (LCS) di Lumut sejak dua tahun lalu sehingga mengakibatkan 10,000 pekerja dan 400 vendor gulung tikar akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat beberapa cadangan telah dikemukakan oleh kementerian bagi menyelesaikan masalah terbabit termasuk membenarkan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) meneruskan projek berkenaan.

Menurutnya, cadangan agar BNS dibenarkan meneruskan projek itu merupakan opsyen pertama kementerian kepada Kabinet dengan mengemukakan bersama cadangan hala tuju yang baharu.

"Isu LCS sekarang ini telah berada dalam tindakan kita untuk membawanya ke mesyuarat Kabinet bagi mendapatkan keputusan penyelesaian yang sepatutnya boleh dilakukan.

"Pertamanya kita telah cadangkan Boustead meneruskan projek ini dengan beberapa cadangan hala tuju baru yang akan dikemukakan kepada Kabinet.

"Sekiranya Kabinet tidak bersetuju, kita mungkin guna opsyen lain seperti membatalkan (kontrak) dan melantik syarikat baharu, tetapi setakat ini kita masih dengan cadangan pertama agar Boustead dibenarkan meneruskan projek berkenaan," katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada Isnin.

Beliau berkata, keputusan Kabinet berhubung perkara itu mungkin dapat diketahui dalam tempoh satu ke dua minggu lagi dan diyakini dapat menyelesaikan kemelut penangguhan projek dan masalah berkaitan pekerja yang hilang pekerjaan.

"Kita melihat kepada semua aspek, bukan setakat untuk siapkan LCS sahaja, tetapi dari segi kebajikan pekerja juga yang terjejas sekiranya projek ini tidak dapat diteruskan.

Artikel Berkaitan:

"Atas sebab itu, kita telah cadangkan agar Boustead meneruskan projek ini kerana pekerja-pekerja itu juga adalah kalangan pekerja syarikat berkenaan," katanya.

Ismail Sabri terdahulu menyempurnakan stesen minyak BHPetrol berkonsepkan PCS (portable container system) pertama di kem tentera yang siap dibina pada Disember tahun lalu serta mengadakan lawatan ke rumah dua anggota TLDM yang mengalami separa lumpuh.

Nor Zaharin Rosland, 39, diserang angin ahmar semasa sedang bertugas di Pejabat Alam Sekitar KD Malaya pada tahun 2018 mengakibatnya lumpuh separa sebelah kanan, manakala Asrul Nizam Ahmad, 36, bertugas sebagai staf teknikal di KD Ledang mengalami lumpuh separa pada tangan dan kaki akibat kepala terhantuk di ruangan enjin kapal ketika membuat kerja-kerja selengaraan pada tahun 2017.

Kedua-dua mereka telah mendapat bantuan one-off Sejambak Kasih RM500 dan bantuan Samudera Kasih berjumlah RM500 sementara bantuan makanan tambahan, susu dan lampin pakai buang berjumlah RM600 setiap tahun.

Beliau turut dibawa menyaksikan demonstrasi enam Kapal Pemintas Laju atau Fast Interceptor Craft (FIC) sebelum menyempurnakan gimik penyerahan kapal berkenaan daripada syarikat Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd.

Lawatan diakhiri dengan majlis berbuka puasa bersama warga TLDM di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM Lumut.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Rezs Mohd Sani.

ARTIKEL BERKAITAN: 10,000 pekerja, 400 vendor terjejas projek LCS tangguh