10,000 pekerja, 400 vendor terjejas projek LCS tangguh

Zambry (tengah) bersama Safie (kanan) dan Hamzah ketika sidang akhbar di Pejabat Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan pada Sabtu.
Zambry (tengah) bersama Safie (kanan) dan Hamzah ketika sidang akhbar di Pejabat Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan diminta mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan projek pembinaan enam Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) yang tertangguh sejak lebih setahun lalu diteruskan bagi menyelamatkan kira-kira 10,000 pekerja dan 400 vendor terjejas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penangguhan projek tersebut memberi kesan yang besar kepada pekerja dan vendor kerana sebahagian mereka sudah gulung tikar disebabkan keadaan itu.

Menurutnya, jalan terbaik bagi menyelamatkan pekerja dan vendor tersebut dengan meneruskan kembali projek pembinaan LCS itu dengan segera memandangkan ia tertangguh begitu lama.

"Keadaan ini memberikan kesan buruk kepada keseluruhan ekosistem dan ekonomi bukan sahaja di daerah Manjung dan Perak tetapi untuk negara.

"Saya memohon kepada kerajaan untuk memberikan perhatian serius mengenai perkara ini. Dalam keadaan ekonomi yang semakin sulit kita memerlukan sokongan kerajaan," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pejabat Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha MTUC Bahagian Perak, Hamzah Jaaffar dan Pengarah Urusan Samudera Selatan Engineering Sdn Bhd, Safie Tamrin.

Zambry berkata, isu tersebut pernah dikemukakan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan Pengerusi Boustead Berhad, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi meminta kerajaan mempertimbangkan masalah yang berlaku.

Sementara itu, Safie yang merupakan salah satu vendor yang terlibat dengan pembinaan LCS itu memaklumkan bahawa pihak vendor mengalami pelbagai kesulitan selepas lebih setahun projek tersebut tidak beroperasi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebahagian besar mereka berdepan masalah kewangan seperti membayar gaji pekerja dan melunaskan pinjaman bank kerana penangguhan terlalu lama.

Beliau berkata, sebahagian daripada mereka yang merupakan anak tempatan sudah pun gulung tikar kerana tidak lagi mempunyai sumber untuk meneruskan projek tersebut.

"Jika projek ini terus ditangguh, banyak lagi masalah teknikal yang akan timbul. Sebenarnya, projek ini menggunakan teknologi tinggi bagi aset pertahanan negara sekali gus memberikan pengalaman kepada vendor dalam pembinaan kapal perang.

"Kita juga sudah mengikuti lebih banyak latihan dan survei bagi projek ini. Kita sangat berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan untuk meneruskan projek ini bagi menyelamatkan semua pihak," katanya.

Menurut Safie, daripada enam kapal yang dirancang untuk dibina, hanya dua kapal yang siap 70 peratus sebelum ditangguhkan pembinaannya sehingga kini.

Pada 3 Ogos 2020, Kementerian Pertahanan mengumumkan bahawa pihaknya terpaksa menimbang untuk menamatkan kontrak syarikat kontraktor yang membekalkan enam aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) jenis kapal LCS kerana mengalami kelewatan dalam pembinaan.

Ismail Sabri ketika menggulung perbahasan usul titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat ketika itu berkata, sehingga 31 Julai lalu tiada satu pun daripada enam kapal LCS yang disiapkan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB).

Malah menurutnya, kementerian itu juga sudah membayar RM6 bilion daripada harga kos pembinaan kapal berkenaan.

Mengikut rancangan asal, kapal pertama LCS dikenali sebagai LCS1 yang direka cipta dan dibina sepenuhnya di negara ini dijangka siap pada 2018 dan akan diserahkan kepada TLDM pada pertengahan tahun 2019 manakala kapal terakhir diserahkan pada pertengahan 2023.

Pembinaan kapal LCS itu adalah selaras dengan usaha pemodenan TLDM dan mampu meningkatkan keupayaan tempur armada pasukan itu daripada empat kapal tempur kepada 10 kapal sekali gus membolehkan lebih banyak operasi dapat disempurnakan dengan lebih pantas dan berkesan.

ARTIKEL BERKAITAN: Selamatkan kapal tempur pesisir kita