X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga taman perumahan di Lahad Datu dikenakan PKPD

Ismail Sabri Yaakob
A
A

SHAH ALAM - Tiga taman perumahan di Lahad Datu, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 22 April sehingga 5 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga taman tersebut ialah Taman Aman Tiga, Taman Aman Jaya dan Taman Palm Height.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Rabu melaporkan situasi semasa Covid-19 di tiga taman perumahan tersebut secara keseluruhan sebanyak 45 kes positif telah direkodkan iaitu 24 kes di Taman Aman Tiga, Taman Aman Jaya (10 kes) dan Taman Palm Height (11 kes).

“KKM juga melaporkan masih berlaku penularan kes dalam kalangan penghuni taman tersebut dan kebanyakan kes melibatkan jangkitan serumah.

"Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan tindakan kawalan Covid-19 dengan lebih pantas dan berkesan seterusnya menghalang penularan kes dalam kalangan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tiga daerah di Kelantan iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.

Tambah beliau, pelaksanaan PKP yang bermula 22 April hingga 29 April itu untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti ini dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan ke kawasan lain.

“KKM telah melaporkan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di Kelantan.

“Terdapat peningkatan kes aktif sebanyak 83.9 peratus dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 18 kes kepada 112 kes,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, PKPD di Perumahan Komuniti Bersepadu Pulau Serai, Pekan, Pahang yang dijadualkan tamat pada 22 April akan dilanjutkan sehingga 29 April.

Menurutnya, ini kerana masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD itu dan terdapat sebanyak 47 sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“KKM telah melaksanakan 545 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak tujuh kes positif Covid-19 telah direkodkan,” katanya.

Sementara itu, katanya, PKPD di Kampung Menuang Baru, Limbang, Sarawak telah ditamatkan mengikut jadual iaitu pada 24 April.

“Sebanyak 170 ujian saringan dan 13 kes positif Covid-19 direkodkan. KKM mengesahkan keputusan makmal ujian rt-PCR untuk saringan kali kedua didapati kesemuanya negatif dan tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!