Akta Anti-Menghendap berkuat kuasa 31 Mei lalu

Gambar hiasan - Foto WAO
Gambar hiasan - Foto WAO
A
A
A

SHAH ALAM - Akta Anti-Menghendap dan perintah perlindungan telah mula berkuat kuasa pada 31 Mei lalu melalui notis daripada Jabatan Peguam Negara.

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) berkata, melalui akta tersebut, seksyen baharu 507A mendefinisikan menghendap sebagai satu kelakuan berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan dan mencemaskan seseorang.

"Jika seseorang berulang kali mengekori, berkomunikasi atau cuba berkomunikasi dalam sebarang cara, berlegar-legar di kediaman atau tempat kerja anda dan memberi atau menghantar apa-apa sahaja kepada anda dalam sebarang cara dan membuatkan anda tertekan atau takut, anda mungkin seorang daripada mangsa pemandiri menghendap.

"Maka kini, anda boleh mendapatkan pertolongan daripada pihak polis jika dihendap atau memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah perlindungan terhadap individu sedang disiasat atau dituduh dengan kesalahan menghendap,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Mac lalu Dewan Rakyat meluluskan pindaan ke atas Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah, bagi menjadikan tindakan menghendap sebagai satu kesalahan.

RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 yang memperincikan kesalahan menghendap dan jenis hukuman yang boleh dikenakan serta RUU Kanun Acara Jenayah (Pindaan) 2023 berhubung peruntukan perlindungan kepada mangsa, diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Mengulas lanjut, WAO berkata, pindaan RUU Kanun Keseksaan dan RUU Kanun Tatacara Jenayah, individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut mencadangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan rakyat di negara ini mendapatkan perlindungan sewajarnya.

“Langkah pertama ialah mengemas kini garis panduan dan SOP yang berkaitan untuk menggambarkan menghendap sebagai satu jenayah dan menyediakan latihan dan sumber yang mencukupi termasuk pegawai polis, pegawai kebajikan masyarakat, pendakwa raya, badan kehakiman dan barisan hadapan lain.

“Kedua, kempen publisiti perlu dilaksanakan di seluruh negara bagi memastikan mangsa mengetahui hak mereka dan semua rakyat Malaysia dididik mengenai implikasi jenayah ini.

“Akhir sekali, melatih dan berkongsi sumber dengan maklumat atau latihan yang mencukupi kepada pihak NGO dan pemberi perkhidmatan lain agar mereka lebih bersedia untuk menyokong mangsa menghendap pada masa akan datang,” ujarnya.