Nafas digesa selesai segera isu kelewatan edar benih padi

Pesawah di Kampung Pulau Kabu, Siputeh memegang sepanduk sebagai tanda protes terhadap kelewatan benih padi di kawasan mereka.
Pesawah di Kampung Pulau Kabu, Siputeh memegang sepanduk sebagai tanda protes terhadap kelewatan benih padi di kawasan mereka.
A
A
A

KUBANG PASU - Pesawah di seluruh tanah air menggesa Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) segera menyelesaikan isu kelewatan pengedaran benih padi sah yang kini mengganggu proses penanaman padi mereka pada musim ini.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Fuad Yaacob berkata, masalah kelewatan padi benih ini berlaku sejak tahun 2017 dan berlarutan sehingga kini walaupun selepas Nafas dilantik sebagai pengedar benih tunggal bermula tahun lalu.

Menurutnya, kelewatan itu menyebabkan kerja-kerja sawah tergendala yang berkemungkinan besar akan memberi kesan kepada pengeluaran beras di negara ini.

"Pada ketika ini, benih padi masih belum dibekalkan lagi ke sebahagian besar keseluruhan kawasan di semenanjung Malaysia sedangkan jadual pengairan sudah bermula sejak dua minggu lalu dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) fasa 1.

"Apabila dipanjangkan masalah ini kepada pihak atasan, kami mendapat jawapan yang sama pada setiap tahun iaitu kelewatan berpunca daripada makmal jabatan,"katanya ketika ditemui pada sidang media di Kampung Pulau Kabu di Siputeh di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Fuad berkata, kegagalan Nafas dan kerajaan dalam menangani isu ini mendatangkan keraguan kepada pesawah mengenai kemampuan kerajaan melaksanakan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang didakwa mampu meningkatkan hasil yang dijangka bermula Ogos depan.

"Kalau masalah benih yang kecil ini pun belum mampu diselesaikan, tidak mustahil SMART SBB itu juga akan bermasalah apatah lagi pelaksanaan program tersebut memerlukan kami menyerahkan sawah kepada syarikat-syarikat tertentu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri, Mansor dan Che Ani bersama pesawah menunjukkan beg benih padi jenis MR297 yang didakwa tiada dalam pasaran.
Dari kiri, Mansor dan Che Ani bersama pesawah menunjukkan beg benih padi jenis MR297 yang didakwa tiada dalam pasaran.

Beliau berkata, mereka bagaimanapun masih menaruh keyakinan kepada Nafas untuk menyelesaikan masalah itu dan berharap ia tidak berpanjangan sehingga tahun-tahun yang akan datang sehingga boleh mengikis kepercayaan pesawah terhadap kemampuan Nafas.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Petani MADA, Che Ani Mat Zain berkata, pesawah juga sebulat suara tidak bersetuju dengan cadangan Nafas yang mahu pesawah menukar penggunaan benih padi kepada jenis MR219 bagi menyelesaikan isu kelewatan itu.

"Nafas mungkin tidak tahu apa masalah MR219 itu. MR219 tak sesuai ditanam pada cuaca sekarang kerana batangnya lembut dan mudah rebah walaupun hasilnya baik.

"Keadaan itu kadang-kadang menyebabkan hasil pesawah berkurangan hingga 50 peratus tetapi kalau bekalan benih jenis MR297 yang kita mahu itu tak ada juga, tak tahulah macam mana keadaannya nanti," katanya.

Hadir sama, Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar Pas Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil.

Pada Isnin, Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Azman Nasrudin dalam kenyataan berkata, kelewatan pembekalan berlaku disebabkan benih padi dari jenis MR297 yang dikehendaki pesawah, tiada dalam pasaran.

"Oleh itu, Nafas mencadangkan supaya pesawah menukar penggunaan benih MR297 kepada MR219 yang mempunyai stok sebanyak 265,000 beg untuk mengatasi masalah tersebut dalam tempoh seminggu," katanya.