Pertubuhan Peladang diwarta Badan awam di bawah Akta SPRM

Program Advokasi Penetapan Badan Awam Terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) ke Arah Mencegah Ketirisan Dana Tahun 2023
Program Advokasi Penetapan Badan Awam Terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) ke Arah Mencegah Ketirisan Dana Tahun 2023
A
A
A

SHAH ALAM - Program Advokasi Penetapan Badan Awam Terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) ke Arah Mencegah Ketirisan Dana Tahun 2023 telah diadakan di ibu pejabat agensi itu pada Rabu.

Program berkenaan seiring dengan pewartaan Pertubuhan Peladang sebagai Badan Awam di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694) yang berkuat kuasa 22 Mei 2023.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, pewartaan Pertubuhan Peladang sebagai Badan Awam membuktikan betapa pentingnya agensi itu kepada negara.

Zamri Yaakob
Zamri Yaakob

Beliau berkata, ia umpama pengiktirafan yang perlu dipikul dengan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah dan tadbir urus Pertubuhan Peladang.

“Pewartaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Seksyen 71 (1) ASPRM 2009 ini membawa maksud Pertubuhan Peladang yang merangkumi Nafas, Pertubuhan Peladang Negeri dan Pertubuhan Peladang Kawasan sebagai Badan Awam.

"Pengiktirafan itu adalah wajar bagi memastikan kepentingan kerajaan, Pertubuhan Peladang dan ahli ahli lebih terjamin selain memastikan tadbir urus yang bebas rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Zamri, ia juga akan memberi satu definasi yang jelas dan tepat dalam menguatkuasakan perundangan bagi memastikan warga Peladang menjauhkan diri dari perlakuan rasuah dalam aktiviti harian perniagaan.

"Sebagai agensi yang bernaung di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Nafas memikul tanggungjawab dalam memperbaiki sosioekonomi para peladang dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan serta memajukan industri pertanian negara.

"Selain itu, penganjuran program tersebut membuktikan komitmen dalam memperkasakan integriti, nilai insan yang tinggi dan unggul demi menjadikan Nafas sebuah organisasi Pertubuhan Peladang yang telus dan cemerlang," jelasnya.