Beri lebih kuota benih padi kepada LPP, PPN, GLC

Mahfuz (kiri) meninjau ruang pameran ketika melawat ke PPK Gurun dalam siri lawatan kerja di Kedah.
Mahfuz (kiri) meninjau ruang pameran ketika melawat ke PPK Gurun dalam siri lawatan kerja di Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan harus memastikan pengeluaran benih padi oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) serta syarikat milik kerajaan (GLC) diberikan lebih kuota bagi mencapai kualiti padi yang ditetapkan.

Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar berkata, langkah itu juga dapat mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada pihak ketiga sekiranya berlaku sebarang krisis luar jangka.

Menurutnya, bagi memastikan keperluan benih padi dalam negara mencukupi dan berkualiti untuk dibekalkan kepada petani, loji benih padi bawah kelolaan LPP, PPN atau GLC harus dipertingkatkan.

“Sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keperluan benih padi dalam negara perlu disediakan oleh LPP, PPN dan GLC setiap tahun.

“Setakat ini, benih-benih yang disediakan empat loji bawah GLC termasuk Felcra Berhad tiada rekod buruk dan sentiasa mengikut penyeliaan Jabatan Pertanian,” katanya di sini pada Selasa.

Mahfuz berkata, aspek lain termasuk komitmen penguatkuasaan Kawalselia Padi dan Beras untuk menjalankan siasatan terperinci untuk mengesan pembekal sedia ada yang membekalkan benih tidak berkualiti.

“Kesemua perkara itu harus diberikan perhatian sekiranya kita mahu hasilkan benih padi berkualiti seterusnya tingkatkan hasil padi,” ujarnya.

Sebelum ini, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) mendakwa kualiti sebahagian benih padi yang dibekalkan kepada pesawah berada pada tahap mengecewakan, selain kesal kerana isu benih padi sudah lama berlarutan namun gagal diselesaikan agensi kerajaan terlibat.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahfuz turut mengumumkan sebuah loji benih padi bawah PPN dan LPP akan dibina di Kubur Panjang, Pendang.

Mahfuz (kanan) beramah mesra bersama ahli PPK Kuala Nerang.
Mahfuz (kanan) beramah mesra bersama ahli PPK Kuala Nerang.

“Untuk pastikan supaya bekalan benih mencukupi dan berkualiti, loji benih baharu ini dijangka dapat membekalkan kuota benih dalam Jun tahun depan, kita akan mohon kepada kementerian untuk diberikan kuota pembekalan.

“Loji tersebut dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh empat bulan lagi. Kita akan segera dapatkan surat kelulusan daripada pelbagai pihak untuk pastikan loji dapat beroperasi mengikut jadual,” jelasnya.

Mahfuz berkata, kos pembinaan loji benih di Kubur Panjang mencecah RM9 juta setakat ini dan dibangunkan atas tanah seluas 350 hektar.

“Tanah berkenaan milik LPP dan tapak tersebut asalnya adalah kilang beras milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), yang diambil alih untuk melaksanakan projek benih padi sah.

“Lokasi ini merupakan paling tinggi kapasiti berbanding semua ladang benih sedia ada termasuk di Selangor,” katanya.

Sebelum itu, Mahfuz mengadakan lawatan sesi pertama selama tiga hari ke PPK Pokok Sena, Kuala Nerang, Naka, Gurun, Sik, Kuala Ketil serta Padang Serai bagi mendengar permasalahan pesawah di setiap kawasan.