Jangan jadikan negara bertambah toksik

Ema Syuhaili
Ema Syuhaili
A
A
A

SHAH ALAM – Setiap ahli politik disaran untuk tidak terus menjadikan keadaan negara bertambah toksik dengan mementingkan diri sebaliknya memikirkan masa depan negara dan rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor berkata, dengan menolak sikap ego, penyatuan ummah boleh direalisasikan meskipun masing-masing mempunyai aspirasi dan impian yang berbeza.

Menurutnya, ini kerana jika hanya meletakkan kepentingan parti sebagai perkara utama, ia akan menggagalkan penyatuan ummah yang diharapkan.

“Kena fikir apa hasil terakhir yang kita mahukan? Adakah rakyat sendiri atau kepentingan parti?

"Paling penting adalah hala tuju rakyat. Dalam keadaan pandemik dan ekonomi sekarang kita tidak boleh pentingkan diri.

“Parti adalah platform dan perjalanan tetapi di hujungnya adalah rakyat sendiri. Kita tidak mahu kerana kepentingan diri pada akhirnya negara dan rakyat yang tergadai,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Sinar Edisi ke-248 bertajuk Penyatuan Ummah: Cukup- cukuplah berpecah yang disiarkan menerusi platform dalam talian Sinar Harian.

Wacana tersebut turut menampilkan Timbalan Menteri Tenaga, Sains dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad dan Penganalisis Politik, Mohd Roslan Saludin sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Beliau pada masa sama menegaskan Bersatu tidak pernah memutuskan hubungan kerjasama bersama UMNO sebaliknya UMNO yang telah membuat keputusan sendiri.

Bagaimanapun katanya, tanpa kerjasama UMNO, tidak bermakna Perikatan Nasional (PN) tempang sebelah kaki.

“Ia menjadi kekuatan untuk PN dan Bersatu bekerja keras walaupun UMNO parti lama. Politik sekarang telah berubah.

“Kehebatan parti dulu tidak gambarkan keadaan parti sekarang. Semuanya ada hikmah dan Bersatu akan terus komited membela nasib rakyat,” katanya.