Situasi Covid-19 tidak memberangsangkan: Dr Adham

Dr Adham menunjukkan graf kadar kebolehjangkitan (RT) Covid-19 semasa sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini di ibu pejabat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF). - Foto Bernama
Dr Adham menunjukkan graf kadar kebolehjangkitan (RT) Covid-19 semasa sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini di ibu pejabat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF). - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Unjuran untuk kes harian Covid-19 di Malaysia menurun kepada 500 pada Mei kelihatan tidak memberangsangkan ketika ini sebaliknya membimbangkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Ini berikutan kemerosotan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diberi penekanan serta kerjasama bagi terus memastikan kepatuhannya, katanya.

Dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bersama Menteri Penyelaras program itu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di sini pada Isnin, Dr Adham berkata, kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) negara ketika ini adalah 1.06.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan cuba memastikan segala langkah pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan dengan Sarawak, Pulau Pinang, Selangor dan Johor yang terlibat dalam kenaikan kes dilihat sebagai keutamaan.

Sebelum ini, KKM mengunjurkan kes harian Covid-19 boleh menurun sehingga 500 pada Mei mengikut Rt kurang 1.0.

Malaysia mencatatkan jumlah kes positif Covid-19 harian sebanyak 1,739 kes pada Ahad.

Mengenai situasi Covid-19 di Sarawak, Dr Adham berkata, Rt di Sarawak ketika ini ialah 1.08 dan trend yang ditunjukkan membimbangkan.

Daripada 1,739 kes dicatatkan negara pada Ahad, Sarawak melaporkan kes harian baharu sebanyak 443 kes.

Artikel Berkaitan:

Dr Adham berkata, berdasarkan pemantauan dan analisis yang dijalankan bagi 2021, didapati trend Covid-19 di Sarawak semakin meningkat bermula pada 9 Januari lalu.

Menurutnya, sebanyak 39 kluster Covid-19 dikesan di Sarawak sejak awal tahun ini melibatkan komuniti berkaitan perhimpunan, aktiviti sosial dan juga rentas daerah.

Dr Adham berkata, beliau dan beberapa pegawai kanan KKM akan ke Sarawak pada Isnin bagi membincangkan mengenai langkah segera yang perlu diambil, keperluan sumber bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19, serta tindakan pencegahan dan kawalan bersama kerajaan Sarawak.

"Keperluan sumber itu termasuklah sumber manusia, peralatan perubatan, peralatan perlindungan peribadi (PPE), logistik dan keperluan ujian makmal," katanya.

Beliau berkata, mobilisasi dan peralatan serta kesiapsiagaan perlu diambil untuk menangani situasi tersebut di Sarawak termasuk penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di beberapa kawasan bandar. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!