Lebih 1,500 peserta dijangka sertai Malaysia #QuranHour di Kedah

Masjid Albukhary antara lokasi Malaysia#Quran Hour di Kedah pada 30 Ogos ini. Gambar kecil: Saloni Mustaffa
Masjid Albukhary antara lokasi Malaysia#Quran Hour di Kedah pada 30 Ogos ini. Gambar kecil: Saloni Mustaffa
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 1,500 peserta dijangka mengambil bahagian dalam Malaysia#Quran Hour di Kedah yang akan berlangsung 30 Ogos ini.

Wakil Rumah Ngaji Kedah, Saloni Mustaffa berkata, Masjid Sultanah Bahiyah dan Masjid Albukhary akan menjadi antara lokasi utama penganjuran Malaysia#Quran Hour di Kedah pada kali ini.

Saloni memberitahu, Malaysia #QuranHour di Kedah ini diadakan Rumah Ngaji Kedah dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK).

"Insya-ALLAH, beberapa sekolah seperti di Sintok, Alor Setar, Baling dan Kulim serta perpustakaan turut bekerjasama menjayakan program ini.

"Untuk Kedah, kami sasarkan penyertaan lebih 1,000 orang pelajar sekolah manakala 500 peserta lagi dari masjid terlibat di negeri ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau memberitahu, sekiranya tiada aral, terdapat sedikit kelainan Malaysia #Quran Hour di Kedah berbanding sebelum ini apabila dijangka turut melibatkan golongan asnaf dan anak yatim.

Saloni menambah, pihaknya sememangnya menyokong program Malaysia #Quran Hour setiap tahun.

Menurutnya, kesedaran masyarakat hari ini tentang penghayatan al-Quran masih memerlukan lebih usaha.

"Disebabkan itu, program Quran Hour amat penting demi memberi ingatan kepada masyarakat umum supaya tidak melupakan kepentingan al-Quran," katanya.

Malaysia #QuranHour kali ke-9 bertemakan Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 akan diadakan di lokasi perdana di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 30 Ogos 2023.

Malaysia #QuranHour itu akan membawa misi Surah Al-Fatihah (Pembukaan), Surah Al-Insan (Manusia) dan Surah Al-Asr (Masa) menjadi surah pilihan.