Tubuh jawatankuasa selesai masalah setinggan di Sabah

Bung Moktar menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Simunul, Semporna pada Sabtu.
Bung Moktar menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Simunul, Semporna pada Sabtu.
A
A
A

SEMPORNA - Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menentukan hala tuju dalam menyelesaikan masalah perkampungan setinggan di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci dan dibawa ke kabinet kerajaan negeri.

"Di Sabah ini banyak kampung yang bertaraf setinggan dan sukar untuk dikawal. Jika berlaku kebakaran, satu kampung pun terlibat.

"Perkara ini sudah dibincangkan dalam kabinet kerajaan negeri dan cuba merancang untuk mencari kawasan tanah bagi dijadikan pusat pemindahan masyarakat setinggan," katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa terjejas akibat kebakaran di Kampung Simunul, di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun, Bung Moktar berkata, ada beberapa kekangan yang perlu diambil kira termasuk status penduduk yang mendiami kawasan setinggan terbabit.

"Perkara ini jika tidak diuruskan dari awal, saya rasa ia tidak akan mendapat hasil yang lebih baik. Jadi setinggan ini akhirnya akan makin berkembang sehingga tanah kerajaan yang hendak dibangunkan pun dijadikan setinggan termasuk di kawasan bandar," katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut berhubung hala tuju setinggan di negeri ini.

Kira-kira 100 penghuni hilang tempat tinggal akibat kebakaran yang memusnahkan 20 rumah atas air di Lorong 5, Kampung Simunul pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, diminta mengulas berhubung masalah air di Kunak, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengadakan satu persefahaman dengan sebuah konsultan bagi melakukan kajian berkaitan hala tuju bekalan air di Sabah.

"Kajian ini memakan masa selama tiga bulan dan akan bermula minggu ini. Selepas tiga bulan, baru saya akan umumkan bagaimana hala tuju air Sabah sebab (masalah air) sudah menjadi masalah yang serius di negeri ini," katanya.