X

Kindly register in order to view this article
!

8 NGO tuntut had umur ahli Parlimen tidak lebih 65 tahun

NGO gabungan generasi baharu ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Gerakan Belia 4B Malaysia di Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak lapan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menuntut penambahbaikan dalam menyuburkan amalan demokrasi di negara ini termasuk had umur calon ahli Parlimen di negara ini disyorkan tidak melebihi 65 tahun.

Lapan pertubuhan meliputi gabungan generasi baharu itu ialah Gerakan Belia 4B Malaysia, Keilmuan Nasional, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Majlis Belia India Malaysia dan Majlis Belia Hindu Malaysia, Majlis Belia Negeri Perak, Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima).

Menurut kenyataan bersama mereka, semua gabungan bersepakat menggerakkan gelombang besar-besaran untuk memberikan tekanan agar pemuda, belia daripada pelbagai latar belakang dan kelompok untuk memberikan undi kepada golongan ahli Parlimen di bawah umur 65 tahun.

"Bukanlah suatu yang janggal jika kerajaan hari ini meremajakan imbangan kuasa antara Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan menampilkan wajah baharu.

"Ini sedikit sebanyak menyokong pertumbuhan institusi awam dan masyarakat yang bebas dan berintegriti tanpa dibayangi tuan-tuan politik (political master) yang berdekad-dekad telah mencengkam penguasaan mereka," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Gerakan Belia 4B Malaysia di sini pada Jumaat.

Kenyataan turut menyebut, kira-kira 7.8 juta pengundi baharu akan dimasukkan ke dalam daftar pemilih sehingga tahun 2023 jika pendaftaran secara automatik dilaksanakan bersama dengan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Menurutnya, jumlah pengundi pada tahun 2023 dijangka meningkat lebih daripada 50 peratus menjadikan jumlah pengundi seramai 22.7 juta berbanding 14.9 juta pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Maka, tindakan peremajaan legislatif adalah suatu hal yang munasabah dan relevan.

"Gejala 'political master' dan 'political patronage' yang berakar lama memang payah dibuang, tetapi dengan iltizam untuk ‘merayakan peremajaan kepimpinan negara’, kami percaya ia tidak mustahil," katanya.

Kenyataan turut menegaskan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil langkah perlu bagi memastikan pendaftaran pengundi baharu dibuat segera seperti ditetapkan pada Julai 2021.

Katanya, terdapat kira-kira 1.2 juta belia berumur 18 hingga 20 tahun perlu diberikan peluang untuk memilih wakil rakyat yang akan mewakili kepentingan mereka selaras dengan hak diberikan untuk membuat keputusan penting dalam kehidupan mereka dalam Akta Umur Dewasa 1971 (Akta 21).

"Hasrat kami adalah untuk melihat kemajuan negara kita dengan idea-idea baharu yang lebih segar.

"Golongan belia meninggalkan jawatan di kala usia mencecah 40 tahun disebabkan perlembagaan dan pemahaman bahawa usia lebih dari 40 tahun bukan lagi belia. Maka ramai pemimpin yang berusia 40 tahun dan ke atas hilang begitu sahaja tanpa mendapat tempat yang selayaknya untuk menjadi pemimpin politik arus perdana," katanya.

Justeru, mereka meminta rakyat membuktikan negara ini mampu beranjak kepada naratif baharu sosiopolitik yang sihat dan segar dengan wajah-wajah yang pasti datang dengan idea baharu pada PRU15.

"Gesaan kami ini senada dengan garis penetapan had umur persaraan penjawat awam diletakkan bahawa umur 60 hingga 65 tahun adalah tahun yang harus bersara wajib.

"Kami generasi baharu juga melihat sekiranya jawatan sebagai ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipegang terlalu lama, akan timbul perkara-perkara yang tidak sihat kerana mereka terlalu berkuasa dan berasa selesa.

"Kita tidak mahu jawatan sebagai ahli Parlimen atau ADUN dijadikan sebagai karier seumur hidup walaupun fizikal dan mental tidak berupaya. Seharusnya jawatan itu dijadikan tempat untuk berkhidmat kepada rakyat yang memerlukan pembelaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!