Kedah cadang syarat baharu pada geran tanah halang tanaman ketum

Muhammad Sanusi - Foto Bernama
Muhammad Sanusi - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah akan mengemukakan cadangan baharu dengan memasukkan syarat sekatan kepentingan dalam geran tanah bagi menghalang penanaman ketum di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkaraberkenaan akan dicadang untuk diluluskan sama ada menerusi Mesyuarat Exco atau Sidang DUN dalam usaha kerajaan negeri menangani isu penanaman ketum yang sudah lama berlarutan.

Beliau berkata, penanaman ketum tidak dibenarkan ditanam di negeri ini menerusi pengenalan sekatan kepentingan dalam geran tanah tersebut kelak.

"Dalam geran itu akan mencatatkan syarat bahawa tidak boleh menanam ketum walaupun tanah berkenaan merupakan tanah pertanian.

"Sebelum ini, tindakan masih tidak dapat diambil memandangkan peraturan menetapkan menanam ketum tidak salah.

"Jika dipetik, direbus dan diminum, barulah salah," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Ulang Tahun ke-75 Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Auditorium KedahFM di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan diambil kerajaan negeri Kedah susulan bekalan ketum diperoleh dari negeri tersebut.

Muhammad Sanusi berkata, walaupun Menteri Besar Kedah sebelum ini, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berulang kali memberi amaran akan mengambil tindakan dan merampas tanah yang digunakan untuk menanam ketum namun tindakan berkenaan tidak dapat dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Tiada undang-undang boleh merampas tanah yang ditanam ketum melainkan kita memasukkan dalam sekatan kepentingan tanah bahawa tanah itu tidak boleh ditanam pokok berkenaan," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhenti daripada meminum air ketum yang boleh mengundang ketagihan, seterusnya memberi kesan buruk kepada kesihatan.