Kerajaan akan bincang cadangan caruman KWSP majikan dinaikkan

Anwar bergambar bersama para hadirin pada Sambutan Hari Pekerja 2023 yang bertemakan ‘Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani’ di PICC hari ini. - Foto Bernama
Anwar bergambar bersama para hadirin pada Sambutan Hari Pekerja 2023 yang bertemakan ‘Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani’ di PICC hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan cadangan supaya kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini ada dikemukakan kepada kerajaan.

Bagaimanapun jelasnya, perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dan akan dibawa kepada Jemaah Menteri.

"Itu (cadangan) ada dikemukakan, tetapi kita belum bawa kepada Jemaah Menteri (dan) akan dibincangkan dahulu.

"(Ini kerana) keputusan dasar, ada impak (kepada) kerajaan dan majikan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) supaya kerajaan menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan daripada 13 peratus kepada 20 peratus.

Menurut pesidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal, perkara itu merupakan salah satu daripada 12 perkara yang dicadangkan UNI-MLC untuk kerajaan dan majikan tangani dengan kadar segera sebagai hadiah sempena Hari Pekerja 2023.

Sementara itu, Anwar dalam ucapan perasmiannya turut mengingatkan agar majikan tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata sehingga mengetepikan hak pekerja.

Jelasnya, majikan juga perlu bersedia menaikkan upah pekerja selari dengan keuntungan yang diperoleh.

"Kita lihat peningkatan produktiviti dan syarikat (turut) catat keuntungan berbilion tetapi gaji pekerja tidak meningkat," katanya.