Pasaran hotel dijangka lemah sepanjang 2021

Menurut Bank Negara Malaysia, prospek bagi industri perhotelan masih sangat bergantung kepada tahap sekatan dan tempoh larangan merentas sempadan negeri dan antarabangsa. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
Menurut Bank Negara Malaysia, prospek bagi industri perhotelan masih sangat bergantung kepada tahap sekatan dan tempoh larangan merentas sempadan negeri dan antarabangsa. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan pasaran hotel di jangka terus lemah sepanjang tahun 2021 dengan persaingan sengit untuk mendapatkan kumpulan pengembara lebih kecil, kos operasi lebih tinggi akibat prosedur operasi standard yang dikenakan dan pemulihan permintaan pelancongan yang lembap.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, prospek bagi industri perhotelan masih sangat bergantung kepada tahap sekatan dan tempoh larangan merentas sempadan negeri dan antarabangsa.

“Larangan perjalanan antarabangsa akan mengambil masa sebelum dilonggarkan meskipun program pemvaksinan sedang dilaksanakan di seluruh dunia,” kata BNM dalam Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan- Separuh Kedua 2020 yang dikeluarkan pada Rabu.

Bagaimanapun, katanya, prestasi kompleks beli belah lebih baik sedikit dengan penambahan kecil bilangan pengunjung terutamanya menjelang akhir tahun 2020.

Menurut bank pusat, terdapat peralihan yang diperhatikan dalam tingkah laku pengguna ke arah pembelian atas talian yang mungkin akan berterusan dan seterusnya menjejaskan sebahagian permintaan untuk ruang runcit dalam keadaan lebihan bekalan sedia ada.

Beberapa perniagaan juga telah mula mengecilkan ruang pejabat dan menyewakan sebahagian daripada ruang yang tidak digunakan berikutan pengaturan bekerja dari rumah yang berterusan secara meluas.

Kadar kekosongan dan kadar sewa pasaran dalam segmen ini telah menjadi semakin buruk dengan sesetengah pemilik menurunkan sewa mereka sehingga 15 peratus.

Pelarasan terhadap bekalan baharu ruang pejabat dan runcit turut diperhatikan apabila beberapa pemaju menangguhkan tarikh penyiapan projek mereka.

Artikel Berkaitan:

BNM berkata, setakat ini, penangguhan projek hanya memberikan kesan terhad kepada bekalan ruang pejabat dan runcit keseluruhan kerana projek tertangguh ini hanya mencakupi bahagian yang secara kecil (masing-masing 12.5 peratus and 9 peratus) daripada bekalan baharu.

Bekalan baharu ruang pejabat dan runcit yang dirancang di Lembah Klang, sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga tahun yang akan datang kekal tinggi, iaitu masing-masing bersamaan dengan 23 peratus dan 58 peratus daripada bekalan sedia ada.

Kadar sewa serta penghunian ruang pejabat dan runcit dijangka terus lembap pada masa akan datang dalam keadaan lebihan bekalan yang sedia ada dan perniagaan yang mencabar, - Bernama