Amaran Tok Mat, jangan bicara tentang perpaduan dengan UMNO

Mohamad bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) pada acara perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 hari ini. - Foto Bernama
Mohamad bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) pada acara perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pemimpin serpihan parti Melayu yang baharu setahun jagung diingatkan agar tidak berbicara tentang perpaduan ummah dengan UMNO.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana pihak terbabit dilihat tidak mempunyai sebarang rekod dalam menyatupadukan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.

”Jangan berbicara tentang perpaduan ummah dengan UMNO, kalau 'tuan-tuan' sendiri berentap dengan mereka yang sebelum ini, tuan-tuan peluk dan dakap mesra.

”Jangan berbicara tentang perpaduan ummah dengan UMNO, kalau yang 'tuan-tuan' tahu hanyalah memancing dan mengutip sesiapa sahaja yang pantas meninggalkan perjuangan bangsa.

”Termasuklah mereka yang selama ini tidak berhenti-henti menghina dan merendah-rendahkan orang Melayu,” katanya ketika sempena Ucapan Perasmian Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu.

Mohamad berkata, mereka yang menghina dan merendah-rendahkan orang Melayu itulah yang sebenarnya anti perpaduan Melayu.

”Mereka tidak pernah memperjuangkan sebarang usaha perpaduan. Sehinggalah apabila nyawa mereka seperti telur di hujung tanduk, kelangsungan parti mereka menjadi begitu getir, baharulah mereka mula tergagap-gagap bercakap tentang perpaduan bangsa,” katanya.

Mohamad berkata, lebih menjelikkan adalah mereka yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut tidak malu mahu bercakap berkenaan perpaduan ummah.

Artikel Berkaitan:

”Sedangkan selama berpuluh-puluh tahun, perjuangan mereka tidak pernah sekali pun menjurus kepada kebaikan orang Melayu, apatah lagi perpaduan ummah.

”Maka dengarlah wahai seluruh perwakilan UMNO dan bangsa Melayu. Saya tegaskan dengan setegas-tegasnya bahawa perpaduan bangsa Melayu adalah cita-cita besar yang UMNO telah dan akan terus dukung dengan tegas dan setia,” katanya.

Tegas Mohamad, mereka tidak akan lacurkan perpaduan bangsa Melayu dalam matlamat politik yang sempit.

”Ia tidak akan kami leburkan dalam perlumbaan kuasa yang tidak cerdik.

”Yang akan UMNO usahakan adalah perpaduan seluruh bangsa Melayu. Yang berpolitik atau tidak, yang berparti atau tidak dan yang dalam kerajaan mahupun pembangkang.

”Semuanya akan kita pandang dan kita undang. Rukunnya hanya satu iaitu Melayu,” katanya.

Beliau berkata, perkara berkenaan mesti dijayakan dengan hanya satu tujuan iaitu demi membangunkan kebingkasan orang Melayu dan bukan untuk menyelamatkan mana-mana individu atau perikatan politik tertentu.

”Saya tegaskan juga pada UMNO, perpaduan Melayu bukan sekadar mengukuhkan kedudukan bangsa Melayu tetapi juga perpaduan nasional,” katanya.

Katanya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan memperjuangkan perpaduan Melayu dan nasional tanpa terpisah-pisah, bergerak seiring dan saling diperkuat.