Lelaki ditemui mati dengan kesan kelar dalam kereta

IPOH - Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan kelar di leher di dalam sebuah kereta di kawasan parkir sebuah pusat membeli-belah dekat Station 18 di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai mangsa berusia 57 tahun tidak sedarkan diri di dalam kenderaan tersebut kira-kira jam 12.53 malam.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Pasir Puteh bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian penumpang sebuah kereta,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Abang Zainal Abidin, hasil rakaman percakapan dengan ahli keluarga mendapati mangsa dipercayai mengalami kemurungan sejak enam bulan lalu akibat beberapa masalah kesihatan yang dihadapinya.
“Hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPP) mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian leher dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Pasir Puteh di talian 05-321 2222 atau Bilik Gerakan IPD Ipoh di 05-245 1500 bagi membantu siasatan.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan kelar di leher di dalam sebuah kereta di Ipoh
- Ketua Polis Daerah Ipoh mengesahkan menerima maklumat tentang mangsa berusia 57 tahun
- Pasukan anggota polis dari Balai Polis Pasir Puteh dan Bahagian Siasatan Jenayah telah menjalankan pemeriksaan
- Mangsa dipercayai mengalami kemurungan sejak enam bulan lalu
- Bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan di leher dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

