'Dakwaan saya akan dipecat tak masuk akal' - Tok Mat

Mohamad ketika berucap pada program Malam Perpaduan Paroi pada malam Khamis.
Mohamad ketika berucap pada program Malam Perpaduan Paroi pada malam Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan dakwaan beliau akan dipecat daripada jawatan menteri Kabinet sebagai berniat jahat dan tidak masuk akal.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menegaskan, tohmahan itu berniat untuk memecahkan undi akar umbi Barisan Nasional (BN) terutama ahli UMNO.

"Orang UMNO dan BN berhati-hatilah kerana mereka nak pecahkan seboleh mungkin sokongan orang UMNO dan BN dalam Kerajaan Perpaduan ini," katanya kepada pemberita selepas program Malam Perpaduan Paroi pada Khamis malam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan akan digugurkan daripada Kabinet ekoran mengadakan pertemuan dengan wakil Perikatan Nasional (PN) seperti yang tular dalam klip video di aplikasi WhatsApp.

Dalam pada itu Mohamad yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau mengingatkan orang ramai tidak mudah percaya spekulasi mengenai Islam dan Melayu akan terancam di bawah Kerajaan Perpaduan.

"Itu sebab macam-macam kata, Islam terancam, Melayu terancam, macam-macamlah (sedangkan) DAP empat orang sahaja dalam Kabinet. Nak kata Islam terancam, daripada 29 menteri, 19 (daripadanya) Melayu Islam.

"Merbahaya bila kita menggunakan isu perkauman dan agama di negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

"Saya harap orang ramai jangan percaya perkara ini, tidak akan terancam selagi Perlembagaan kita utuh (kerana) nak buat pindaan Perlembagaan mesti melalui Kabinet," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam ucapannya, Mohamad menafikan beliau terlibat dan terdapat konflik kepentingan dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS).

"LCS tahun 2013, 2014. Masa itu saya belum ada lagi dekat Persekutuan, saya di Seremban. Apa kena mengena saya dengan LCS ini (sedangkan) saya jadi Menteri Pertahanan bulan 11 tahun lepas.

"Kalau nak memfitnah, jangan mentohmah, tak masuk akal langsung. (Dakwaan terlibat) Nak musnahkan karier politik saya, jangan percaya benda macam itu," tegasnya.