Pas nafi Muhyiddin kekal Pengerusi PN

MARANG – Pas menafikan dakwaan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus kekal sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), sebaliknya menegaskan bahawa belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat berhubung pelantikan jawatan itu setakat ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata sehingga kini parti itu masih belum menerima sebarang jemputan mesyuarat rasmi PN bagi membincangkan pelantikan pengerusi baharu.
“Setakat ini belum terima jemputan lagi, jadi kita tunggulah. Belum ada keputusan dibuat,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan terkini berhubung kepimpinan tertinggi PN.
Abdul Hadi turut menafikan dakwaan bahawa Muhyiddin telah dipersetujui untuk kekal sebagai Pengerusi PN dan menegaskan bahawa tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan pendirian Pas kekal konsisten berdasarkan resolusi muktamar parti yang menetapkan calon Pengerusi PN perlu daripada Pas.
“Tak ada, tak ada keputusan.
“Itu resolusi Muktamar Pas, calon pengerusi PN daripada Pas,” katanya.
Jelas beliau, kelewatan pelantikan Pengerusi PN bukan berpunca daripada perbezaan pendirian parti, sebaliknya lebih kepada urusan pengurusan dan pentadbiran dalaman gabungan itu.
Abdul Hadi menjangkakan keputusan itu mungkin dimuktamadkan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi memandangkan gabungan itu perlu bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Itu soal pengurusan dan pentadbiran. Insya-Allah bila-bila masa sahaja boleh diputuskan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kemasukan MIC ke dalam PN bukan isu baharu dan telah lama diterima oleh gabungan tersebut.
“Kita sudah terima lama. Tidak jadi masalah, ini negara demokrasi dan saya sendiri telah berdialog dengan mereka beberapa kali,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kegagalan Pas menamakan calon Pengerusi Perikatan Nasional menguatkan dakwaan bahawa Muhyiddin bakal kekal mengetuai gabungan itu.
Laporan tersebut juga menyebut penyertaan MIC dalam PN bakal menyukarkan lagi calon daripada Pas di posisi tersebut memandangkan parti-parti komponen lebih mahu pemimpin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengetuai gabungan berkenaan.
Ringkasan AI
- Pas menafikan dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan kekal sebagai Pengerusi PN dan menyatakan belum ada keputusan muktamad dibuat
- Parti ini masih belum menerima jemputan mesyuarat rasmi PN untuk bincangkan pelantikan pengerusi baharu
- Abdul Hadi Awang menafikan Muhyiddin telah dipersetujui kekal sebagai Pengerusi PN
- Pas menegaskan pendirian calon Pengerusi PN perlu datang dari Pas berdasarkan resolusi muktamar parti
- Abdul Hadi menjangkakan keputusan tentang pengerusi PN mungkin dimuktamadkan dalam satu atau dua minggu lagi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
