Dakwa dipecat secara tidak sah, enam bekas Ketua Bahagian Bersatu lapor RoS

PUTRAJAYA – Enam bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa Pendaftar Pertubuhan (RoS) menjalankan siasatan terhadap parti itu susulan pemecatan mereka yang didakwa tidak sah serta bercanggah dengan Perlembagaan parti.
Mereka ialah Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali; Ketua Bahagian Puchong, Mohd Shukor Mustaffa; Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).
Ketika ditemui di hadapan Kompleks Setia Perkasa di sini, pada Khamis, Mohd Shukor memaklumkan bahawa mereka hadir ke RoS bagi membuat aduan serta menggesa siasatan dijalankan ke atas pemecatan tersebut.
Dakwanya, pemecatan yang dilakukan oleh Lembaga Disiplin parti pada 13 Oktober tahun lalu telah dilaksanakan tanpa mematuhi tatacara disiplin yang sewajarnya, termasuk menafikan hak rayuan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Bersatu.
Menurut beliau, walaupun surat pemecatan menyatakan bahawa ahli boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari, nama mereka telah terlebih dahulu dikeluarkan daripada senarai keahlian parti.
“Kalau keahlian kami sudah dibatalkan, bagaimana rayuan boleh dibuat? Dalam keadaan rayuan itu, kami sepatutnya masih dianggap sebagai ahli. Tindakan ini jelas pelik dan menimbulkan persoalan besar dari sudut kesahihan pemecatan,” katanya kepada pemberita.
Mohd Shukor turut mendakwa bahawa proses pemecatan tersebut tidak memenuhi prinsip keadilan asasi apabila tiada prosiding perbicaraan sebenar dijalankan, sebaliknya hanya sekadar perbincangan ringkas tanpa peluang untuk membela diri.
“Kami tidak diberikan butiran kesalahan secara khusus. Surat pemecatan hanya merujuk kepada fasal umum dalam Perlembagaan tanpa menjelaskan kesalahan sebenar yang didakwa kami lakukan,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd Faizal mendakwa bahawa pemecatan tersebut bersifat terancang dan selektif, memandangkan kebanyakan yang terlibat adalah bekas Ketua Bahagian serta ia berlaku ketika parti berdepan Pilihan Raya Negeri Sabah.
“Kesalahan yang didakwa ke atas kami bukanlah kesalahan besar dan boleh diperbetulkan demi kelangsungan parti, tetapi tindakan yang diambil seolah-olah bertujuan menyingkirkan kami terus,” katanya.
Mereka juga membangkitkan isu konflik kepentingan melibatkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohammed Radzi Abdul Manan yang merupakan bapa mentua kepada Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan bapa kepada Naib Ketua Srikandi, Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
“Di situ bagi kami sudah wujud konflik kepentingan. Beliau cop terima surat tetapi prosiding tidak diteruskan. Apabila prosiding tidak diteruskan, tiada perbincangan. Tiba-tiba, pada 13 Oktober keluar surat pemecatan," dakwanya.
Sehubungan itu, enam bekas Ketua Bahagian terbabit berharap agar RoS dapat menjalankan siasatan secara bebas dan adil bagi menentukan sama ada pemecatan mereka mematuhi Perlembagaan Bersatu dan undang-undang pertubuhan.
“Kami tidak mempertikaikan kuasa parti untuk mengambil tindakan disiplin, tetapi biarlah ia dibuat secara adil, telus dan mengikut peraturan,” katanya.
Ringkasan AI
- Enam bekas Ketua Bahagian Bersatu menggesa Pendaftar Pertubuhan menjalankan siasatan terhadap pemecatan mereka yang didakwa tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan parti
- Pemecatan dilakukan tanpa mematuhi tatacara disiplin yang sewajarnya termasuk menafikan hak rayuan
- Nama mereka telah dikeluarkan daripada senarai keahlian parti sebelum sempat mengemukakan rayuan
- Pemecatan didakwa bersifat terancang dan selektif, berlaku ketika parti berdepan Pilihan Raya Negeri Sabah
- Konflik kepentingan melibatkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu yang berkaitan dengan Naib Presiden dan Naib Ketua Srikandi Bersatu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


