Dana pelaburan RM300 juta sepatutnya dipulangkan dua tahun lalu - SPRM

Individu bergelar Tan Sri yang ditahan SPRM berhubung kes tipu pelaburan. Foto: SPRM
Individu bergelar Tan Sri yang ditahan SPRM berhubung kes tipu pelaburan. Foto: SPRM
A
A
A

SHAH ALAM – Dana berjumlah RM300 juta melibatkan kes seorang bekas pengarah syarikat bergelar Tan Sri sepatutnya dipulangkan semula kepada pelabur selepas tarikh matang perjanjian pelaburan berakhir dua tahun lalu.

Menurut sumber, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati dana yang dilaburkan itu telah diseleweng tanpa pengetahuan pelabur.

"Lelaki berusia lingkungan 60-an itu telah ditahan kira-kira jam 7.15 petang pada Rabu. Ia sepatutnya dipulangkan semula selepas tarikh matang perjanjian pelaburan berakhir pada 2024, namun perkara itu tidak berlaku," katanya.

Sebelum itu, perintah reman selama empat hari sehingga 25 Januari terhadap lelaki berusia 60-an itu telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, Khamis.

Ia bagi membantu siasatan kes penipuan pelabur yang dipercayai membabitkan nilai kira-kira RM300 juta.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Dalam satu sidang akhbar, Azam dilaporkan berkata bahawa selain individu bergelar Tan Sri itu, seorang wanita berusia 50-an yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah syarikat milik lelaki kenamaan berkenaan juga telah ditahan.

Syarikat terbabit dikatakan berpengkalan di Kuala Lumpur dan melibatkan pelabur dari seluruh negara.

Menurut Azam, Tan Sri berkenaan dipercayai menawarkan pelaburan wang dan telah menyalahgunakan dana tersebut, kemungkinan ke akaun sendiri atau seumpamanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Dana bernilai RM300 juta sepatutnya dipulangkan kepada pelabur selepas tarikh matang perjanjian pelaburan berakhir dua tahun lalu
  • Siasatan SPRM mendapati dana yang dilaburkan itu telah diseleweng tanpa pengetahuan pelabur
  • Bekas pengarah syarikat bergelar Tan Sri berusia 60-an ditahan bagi membantu siasatan
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009
  • Selain Tan Sri, seorang wanita berusia 50-an yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah syarikat juga ditahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!