'Bau belacan dan budu bukan ukuran rasuah, analogi perlu setara' - Dr Sathia

Dr Sathia (kiri) dan Willie.
Dr Sathia (kiri) dan Willie.
A
A
A

SHAH ALAM – Perbandingan antara amalan rasuah dengan pilihan makanan, termasuk mengaitkan bau babi, belacan atau budu, dianggap tidak wajar kerana kedua-duanya berada dalam konteks dan paksi yang berbeza.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, pilihan makanan merupakan soal budaya, identiti dan kepercayaan yang wajar dihormati dalam masyarakat majmuk, manakala rasuah pula berkait rapat dengan isu integriti, undang-undang dan moral awam.

Menurutnya, pilihan makanan perlu dihormati dan tiada sesiapa patut dihina kerana budaya atau kepercayaan mereka, memandangkan itu merupakan prinsip asas hidup bermasyarakat.

"Namun, hujah akan menjadi lebih kemas jika analogi yang digunakan adalah tepat dan setara.

"Mengaitkan rasuah dengan pilihan makanan, kemudian membandingkan bau babi dengan budu atau belacan sebenarnya mencampuradukkan perkara yang berbeza konteks dan sifatnya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Sathia menjelaskan bahawa makanan tradisional seperti belacan atau budu tidak boleh dilabel sebagai busuk semata-mata berdasarkan baunya, apatah lagi dijadikan sandaran untuk menilai isu rasuah.

“Tak boleh kata belacan busuk atau budu busuk, kemudian bandingkan dengan babi. Kandang babi memang mempunyai bau tertentu, itu fakta. Tetapi konteksnya berbeza dan perbandingan itu tidak adil.

"Pilihan makanan ialah soal budaya dan identiti, manakala rasuah ialah soal integriti, undang-undang dan moral awam. Kedua-duanya tidak berada pada paksi yang sama untuk dibandingkan,” ujarnya.

Beliau turut mengkritik penggunaan analogi yang lemah dalam wacana awam kerana berpotensi mengelirukan masyarakat serta menimbulkan salah faham antara kaum dan agama.

Artikel Berkaitan:

"Analogi sebegini gagal mengawal pemboleh ubah, seolah-olah menilai suhu menggunakan jam. Alatnya ada, tetapi fungsinya salah,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Sathia menegaskan bahawa usaha memupuk keharmonian dan saling menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia perlu disandarkan kepada hujah yang jelas serta perbandingan yang setara.

"Jika benar kita mahu memupuk keharmonian seperti yang dititahkan, perbincangan mesti dibuat secara berfakta, beradab dan tidak mengelirukan supaya mesej saling menghormati itu benar-benar sampai,” katanya.

Isu analogi perbandingan babi dengan budu dan belacan itu mendapat perhatian di Dewan Rakyat pada Rabu apabila seorang Ahli Parlimen Sarawak menggesa semua pihak menghormati pilihan makanan orang lain dan menghentikan kecaman terhadap komuniti tertentu.

Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, komuniti Dayak tidak pernah menghina pilihan makanan mana-mana pihak, namun sering menjadi sasaran hanya kerana memakan daging babi.

Wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu kemudian membandingkan bau daging babi dengan budu dan belacan, yang menurut beliau lebih busuk daripada babi.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sambil menegaskan bahawa sikap saling menghormati perlu menjadi asas perpaduan rakyat Malaysia.

Ringkasan AI

  • Perbandingan rasuah dengan pilihan makanan termasuk bau babi, belacan atau budu dianggap tidak wajar kerana berbeza konteks
  • Pilihan makanan adalah soal budaya, identiti dan kepercayaan yang harus dihormati
  • Rasuah berkaitan dengan isu integriti, undang-undang dan moral awam
  • Menggunakan analogi yang lemah tentang makanan untuk membahas isu rasuah boleh menyebabkan kekeliruan
  • Perlu hujah yang jelas dan perbandingan yang setara dalam usaha memupuk keharmonian dan saling menghormati antara rakyat Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!