Bekas Timbalan Presiden PKBM meninggal dunia

Naim. - Foto Agensi
Naim. - Foto Agensi
A
A
A

BEKAS Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad meninggal dunia pada Jumaat.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital UITM Puncak Alam dan perkhabaran itu dimaklumkan oleh anaknya, Athirah Naim dalam satu hantaran di laman Facebook.

“Dengan berat hati saya memaklumkan kepada anda tentang kematian ayah saya Naim Mohamad pagi ini (Jumaat).

“Jenazah dibawa ke Masjid Kota Damansara dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara Seksyen 9.

“Jenazah masih di Hospital UITM Puncak Alam,” katanya menerusi catatan di Facebook pada Jumaat.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh menyifatkan bekas timbalan presiden PKBM itu individu yang berdedikasi dan memberikan masa serta tenaganya untuk pembangunan berbasikal semasa memegang jawatan di persatuan itu sejak 1980-an.

“Terkejut kita mendengar berita pemergian Datuk Naim.

“Pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada komuniti berbasikal dan beliau akan dirindui oleh kita semua.

“Beliau adalah penasihat yang baik dan sentiasa bersedia untuk membantu kita semua,” katanya.

Allahyarham berkhidmat sebagai Setiausaha PKBM semasa kepimpinan Tan Sri Darshan Singh pada tahun 1988 dan selepas itu sebagai Timbalan Presiden dengan Datuk Abu Samah Wahab sebagai presiden.