Jersi, seluar berjenama tiruan bernilai RM12,660 dirampas

Mohd Shahran (dua kanan) melihat logo yang terdapat di sehelai jersi tiruan selepas sidang akhbar di KPDNHEP cawangan Kubang Pasu, dekat sini pada Khamis.
Mohd Shahran (dua kanan) melihat logo yang terdapat di sehelai jersi tiruan selepas sidang akhbar di KPDNHEP cawangan Kubang Pasu, dekat sini pada Khamis.
A
A
A

JITRA - Sebanyak 510 jersi dan 82 seluar berjenama terkenal yang disyaki tiruan dirampas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Kubang Pasu di sebuah premis perniagaan di Jitra pada Rabu.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, rampasan jersi kebangsaan dan kelab luar negara serta seluar berjenama seperti Adidas, Puma dan Nike di kawasan perindustrian Bandar Darul Aman itu membabitkan nilai RM12,660.

Menurutnya, serbuan dilakukan kira-kira jam 11 pagi melibatkan dua pasukan dengan enam anggota KPDNHEP cawangan Kubang Pasu.

"Dalam operasi tersebut, terdapat seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga merupakan pekerja di premis berkenaan dan ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 atas kesalahan mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya barang-barang yang cap dagangannya dipakai dengan salah untuk tujuan perdagangan,"katanya pada sidang akhbar di KPDNHEP cawangan Kubang Pasu, dekat sini pada Khamis.

Mohd Shahran (tengah) bersama pegawai menunjukkan jersi dan seluar tiruan yang dirampas di sebuah premis perniagaan di Jitra pada Rabu.
Mohd Shahran (tengah) bersama pegawai menunjukkan jersi dan seluar tiruan yang dirampas di sebuah premis perniagaan di Jitra pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Shahran berkata, siasatan awal mendapati premis perniagaan tersebut telah beroperasi sejak setahun yang lalu dan jersi serta seluar berkenaan dijual sekitar RM10 hingga RM30.

Menurutnya, bekalan jersi dan seluar berjenama tiruan itu dipercayai diperoleh dari negara jiran dan modus operandi bawa masuk sedang disiasat oleh pihaknya.

Artikel Berkaitan:

"Rampasan ini adalah terbesar pada tahun ini di daerah Kubang Pasu dan kita akan memanggil wakil pemilik cap dagangan ini untuk mengesahkannya," katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga sedang berusaha mengesan pemilik premis perniagaan berkenaan.