Kasut, selipar jenama tiruan dirampas

Pegawai KPDN memeriksa kasut dipercayai tiruan selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Chai Leng, Perai pada Khamis.
Pegawai KPDN memeriksa kasut dipercayai tiruan selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Chai Leng, Perai pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas pelbagai kasut, selipar dan stoking berjenama tiruan bernilai RM8,940 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Chai Leng, Perai pada Khamis.

Pengarahnya, RS Jegan berkata, serbuan dilakukan jam 12.40 tengah hari itu hasil daripada maklumat dan risikan yang dijalankan pihaknya sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dilakukan di rumah terbabit menemukan 32 unit kasut jenama Adidas pelbagai jenis dan saiz, 18 unit kasut jenama Nike dan lima unit kasut jenama Louis Vuitton.

"Turut dirampas 113 unit selipar dan 123 stoking jenama Adidas pelbagai saiz serta 75 unit stoking jenama Nike yang disyaki tiruan.

Antara kasut jenama tiruan yang dirampas selepas serbuan dilakukan KPDN Pulau Pinang di sebuah rumah di Taman Chai Leng, Perai pada Khamis
Antara kasut jenama tiruan yang dirampas selepas serbuan dilakukan KPDN Pulau Pinang di sebuah rumah di Taman Chai Leng, Perai pada Khamis



"Kesemua barangan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM8,940,"katanya menerusi kenyataan di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mana-mana orang yang mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Katanya, mana-mana individu mahupun syarikat diingatkan supaya tidak melanggar undang-undang terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan hukuman.

"Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat kepada kementerian ini dengan melaporkan kegiatan ini agar tindakan lanjut dapat diambil," katanya.