'Tindakan lepas suspek Macau Scam satu pengkhianatan'

Abdul Hamid (kanan) menyampaikan anugerah Kategori Terbaik Keseluruhan kepada Inspektor Jonathan Mok Chen Chong (kiri) di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara, Ipoh pada Jumaat. - Foto Bernama
Abdul Hamid (kanan) menyampaikan anugerah Kategori Terbaik Keseluruhan kepada Inspektor Jonathan Mok Chen Chong (kiri) di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara, Ipoh pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Tindakan seorang pegawai polis yang dipercayai bersekongkol dengan suspek sindiket Macau Scam di Pulau Pinang disifatkan sebagai satu pengkhianatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, hasil siasatan yang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) mendapati wujudnya kesalahan itu dalam kes tersebut.

“Kita akan mengambil tindakan drastik. Ini terang-terang satu pengkhianatan kepada amanat yang telah saya berikan kepada semua pegawai-pegawai saya di bawah.

“Hentikan perbuatan sebegini yang mana mereka melanggar peraturan atau melakukan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, memang kita hendak dakwa,” katanya.

Abdul Hamid berkata demikian ketika mengesahkan penglibatan pegawai polis itu pada Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Rasmi Kursus ‘Private Pilot’s Licence (PPL)’ no 18 Siri 01/2019 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara PDRM, di sini pada Jumaat.

Difahamkan pegawai berpangkat Inspektor yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang telah melepaskan beberapa suspek sindiket Macau Scam di negeri itu.

Menurutnya, beliau tidak lagi cenderung untuk mengenakan tindakan tatatertib dalam kes itu berikutan hukuman yang bakal dikenakan tidak setimpal.

“Di bawah kuasa saya, hukuman tatatertib paling tinggi adalah lucut hak emolumen selama tujuh hari.

Artikel Berkaitan:

“Kesalahan berat ini di bidang kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang diketuai menteri dan lapan ahli lain untuk putuskan tindakan lanjut seperti turun pangkat atau buang kerja,” katanya.