Suspek kes tembak isteri akan dituduh dalam masa terdekat

Ayob Khan menunjukkan 18 ahli sindiket yang terlibat dalam penipuan dalam talian pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Selasa.
Ayob Khan menunjukkan 18 ahli sindiket yang terlibat dalam penipuan dalam talian pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor sedang melengkapkan kertas siasatan suspek kes bunuh isteri di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi dekat sini dalam kejadian pada 1 Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, selepas itu akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi membolehkan pendakwaan dibuat dalam masa terdekat.

"Polis masih lagi menunggu laporan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan ke atas mayat mangsa.

"Kalau mereka (ahli keluarga) boleh mengesahkan mayat itu mayat ahli keluarga mereka senanglah, benda itu sudah selesai, mereka tidak dapat mengesahkan jadi polis kena tunggu laporan DNA.

"Kalau ikutkan benda asas, suspek sudah mengaku dia yang bunuh berdasarkan pakaian yang dipakai dapat disahkan tetapi keluarga tidak dapat sah dan cam mayat sebab sudah bengkak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Angkara cemburu, suami tembak mati isteri

Bunuh isteri: Polis masih siasat motif cemburu

Artikel Berkaitan:

Kes bunuh isteri: Terdapat kesan lebam pada mayat mangsa

Jenazah belum dituntut kerana keluarga tunggu keputusan ujian DNA

Dalam kejadian jam 2.30 pagi Isnin lalu, mangsa, 32, yang bekerja sebagai kerani swasta ditembak pada bahagian dada ketika sedang tidur di rumahnya di Taman Saujana.

Lebih tragis mayat mangsa disumbat di dalam tong air sebelum ditanam di sebuah ladang di Bandar Penawar, Kota Tinggi, kira-kira 30 kilometer daripada kediaman mereka.

Rahsia pembunuhan kejam itu terbongkar selepas jiran yang juga rakan baik suspek, 43, memberi maklumat kepada polis ketika siasatan berhubung kes orang hilang yang dilaporkan suspek dijalankan.

Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak 209 kes melibatkan modus operandi menyamar sebagai kenalan untuk menipu mangsa secara dalam talian bagi mendapatkan wang dilaporkan sepanjang tahun lalu dengan kerugian RM1.7 juta.

"Pada tahun ini pula dari Januari sehingga Februari sebanyak 48 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian RM398,000," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes-kes jenayah komersial boleh menyalurkan maklumat kepada Pegawai Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Asisten Superitendan Timmy Anak Aheng menerusi talian 019-7773728 atau menerusi infoline JSJK 013-2111222.