X

Kindly register in order to view this article
!

Angkara cemburu, suami tembak mati isteri

Lokasi mayat ditanam di kawasan ladang Bandar Penawar. Tong air biru yang menjadi tempat mayat suspek disembunyikan sebelum ditanam di sebuah kawasan ladang di Bandar Penawar.
A
A

JOHOR BAHRU- Misteri kehilangan seorang wanita berumur 38 tahun yang tidak pulang ke rumahnya di Taman Saujana Kota Tinggi sejak Isnin lalu, terjawab dengan penemuan mayat mangsa di dalam tong air biru di kawasan ladang serai di Bandar Penawar di sini semalam.

Lebih menyayat hati, ibu kepada dua cahaya mata berusia tiga dan empat tahun itu dipercayai ditembak mati ketika sedang tidur oleh suaminya berusia 43 tahun menggunakan senapang angin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pembunuhan tersebut bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di rumah mereka.

Jelasnya, susulan daripada laporan kehilangan wanita berkenaan yang dibuat oleh jirannya, suami wanita terbabit yang bekerja sebagai pemandu jengkaut dan rakannya berumur 32 tahun ditahan pada Selasa.

"Siasatan awal yang dijalankan ke atas suami mangsa, mendedahkan berlaku perselisihan faham antara mereka pada Isnin lalu sebelum mangsa keluar rumah pada Isnin lalu kira-kira jam 2 pagi.

"Berdasarkan siasatan, suami mangsa telah mengaku membunuh isterinya di rumah mereka dengan menembak menggunakan senapang angin dan selepas itu mayat isterinya dimasukkan ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor di sini, pada Jumaat.

Ayob Khan ( tengah) menunjukkan senapang angin angin yang digunakan suspek untuk menembak isterinya di rumah mereka di Taman Saujana Kota Tinggi pada Isnin lalu.
Ayob Khan ( tengah) menunjukkan senapang angin angin yang digunakan suspek untuk menembak isterinya di rumah mereka di Taman Saujana Kota Tinggi pada Isnin lalu.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata suami mangsa kemudiannya menunjukkan lokasi mayat isterinya ditanam di kawasan ladang di Bandar Penawar yang terletak lebih 30 kilometer (km) dari rumahnya di Taman Saujana.

"Suspek memberitahu mayat isterinya yang diletakkan diletakkan di dalam tong biru telah dibawa menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

"Suspek juga menggunakan jengkaut untuk menggali tanah bagi menanam mayat isterinya sedalam kira- kira 2 meter," katanya.

Ayob Khan berkata turut dirampas selaras senapang angin, selaras senapang patah dan 54 butir peluru penabor 12 "bore" dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero bersama kunci dan sebuah jengkaut.

"Siasatan mendapati suspek tidak memiliki dokumen pemilikan senjata api terbabit dan polis masih menjalankan siasatan dari mana suspek mendapatkan senjata api tersebut.

"Suami mangsa mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan pemilikan senjata dan mendatangkan kecederaan," katanya.

Jelasnya, proses bedah siasat masih berjalan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula Khamis sehingga 10 Mac.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

"Sementara anak mangsa yang berusia tiga dan empat tahun hasil perkahwinan yang didirikan selama lapan tahun itu akan dijaga oleh keluarga mangsa terbabit," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!