995 majikan di Cameron Highlands belum mohon perakuan penginapan

Muhamad Fauzi (kiri) meninjau keadaan salah sebuah bilik yang didiami pekerja asing yang tinggal di Blue Valley, Cameron Highlands.
Muhamad Fauzi (kiri) meninjau keadaan salah sebuah bilik yang didiami pekerja asing yang tinggal di Blue Valley, Cameron Highlands.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Hanya 12 daripada 1,007 majikan yang menggajikan pekerja asing di daerah itu membuat permohonan bagi mendapatkan perakuan penginapan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) sejak September lalu.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak, Muhamad Fauzi Abd Ghani berkata, semakan mendapati kesemua majikan itu telah menyediakan penginapan kepada 6,912 pekerja asing di sekitar kawasan tanah tinggi itu.

Muhamad Fauzi
Muhamad Fauzi

Menurutnya, sikap ambil mudah antara punca majikan gagal tampil bagi mendapatkan perakuan penginapan meskipun akta tersebut telah dikuatkuasakan tahun lalu.

“Kebanyakan syarikat di sini masih lagi belum memohon perakuan penginapan dari JTK Semenanjung Malaysia. Jadi kalau mereka belum memohon perakuan bermakna syarikat ini telah melanggar Akta 446.

“Sekiranya tiada perakuan, syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya ketika ditemui pada Operasi Penguatkuasaan Akta 446 di sebuah pusat pengumpulan sayur di Blue Valley di sini pada Isnin.

Pemeriksaan JTK di pusat berkenaan mendapati lebih 80 pekerja asing tinggal bersesak di 24 bilik yang disediakan majikan.

Muhammad Fauzi berkata, pihaknya mendapati persekitaran bilik pekerja juga tidak kondusif untuk dijadikan penginapan kerana kotor dan tidak terurus.

Artikel Berkaitan:

“Bilik yang disediakan tidak mengikut spesifikasi. Ada bilik yang diletakkan lebih tiga orang sedangkan keluasan bilik hanya muat untuk dua orang sahaja.

Keadaan bilik yang disediakan majikan untuk pekerjanya yang didapati tidak mengikut spesifikasi Akta 446.
Keadaan bilik yang disediakan majikan untuk pekerjanya yang didapati tidak mengikut spesifikasi Akta 446.

“Selain sesak, pendawaian bilik pun tidak tersusun serta keadaan siling yang bocor. Pembinaan kediaman pekerja itu juga tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Katanya, majikan akan dipanggil untuk diambil keterangan dan jika ada kesalahan, maka kertas siasatan akan dibuka dan seterusnya dikenakan tindakan pendakwaan atau pun kompaun.

“Operasi ini, kita juga akan menyemak rekod program saringan Covid-19 ke atas pekerja asing dan satu kompaun telah dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands.

“Kita mengharapkan dengan operasi berterusan yang dijalankan ini, majikan-majikan di kawasan Cameron Highlands dan Perak akan tampil untuk dapatkan perakuan penginapan,” katanya.