60,000 liter air padam kebakaran Hutan Simpanan Kuala Langat Selatan

Pesawat Bombardier CL 415 milik Maritim Malaysia digunakan dalam operasi memadamkan kebakaran di Hutan Simpanan Kuala Langat Selatan pada Rabu.
Pesawat Bombardier CL 415 milik Maritim Malaysia digunakan dalam operasi memadamkan kebakaran di Hutan Simpanan Kuala Langat Selatan pada Rabu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Sebuah pesawat jenis Bombardier CL 415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) digunakan dalam operasi memadamkan kebakaran di Hutan Simpanan Kuala Langat Selatan (HSKLS) pada Rabu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pesawat amfibia ini diatur gerak atas keperluan yang kritikal dan sangat diperlukan bagi membantu memadam kebakaran di kawasan tersebut berikutan kesukaran laluan untuk diakses melalui jalan darat.

"Operasi pemadaman bermula jam 9.20 pagi tadi (Rabu) dengan sumber air bagi pemadaman diambil dari perairan Tanjung Sepat.

"Bahagian Operasi Udara (BOU) menghantar dua set pasukan penerbang yang terdiri daripada juruterbang dan anak kapal bagi menyertai operasi pemadaman kebakaran itu," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, sebanyak dua sortie atau sesi penerbangan dijalankan pada Rabu.

"Satu sortie di sebelah pagi, manakala satu sortie lagi di sebelah petang.

"Pada sesi pagi tadi, sejumlah 60,000 liter air telah digugurkan dengan 10 kali sedutan atau ‘water scooping’ dilakukan bagi memadamkan kebakaran," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati hampir 90 peratus kawasan yang ditugaskan kepada Maritim Malaysia telah berjaya dipadamkan.

Artikel Berkaitan:

Pesawat yang diterbangkan oleh Leftenan Komander Maritim Yusni Sari bersama empat anak kapal itu berlepas dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) kira-kira jam 9.20 pagi dan operasi pemadaman mengambil masa hampir dua jam.

Selain aktiviti pembakaran terbuka di kawasan teroka, cuaca panas dan berangin serta keadaan tanah gambut menjadi punca kebakaran di HSKLS di sini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) telah mengesan lebih tujuh titik panas di kawasan tersebut pada 25 Januari lalu dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat telah berjaya menjalankan operasi pemadaman pada 24 Februari.

Menurutnya, sebanyak 16 titik panas kembali dikesan di HSKLS dengan keluasan kebakaran sebanyak 26 hektar yang didakwa akibat aktiviti pembakaran terbuka di kawasan teroka tanpa kebenaran dan tanah beri milik bersempadan dengan hutan simpan.

Beliau berkata, operasi pemadaman yang melibatkan 130 anggota daripada pelbagai agensi bermula sejak Isnin dan akan berlangsung selama empat hingga enam minggu.

"Tanah di sini adalah tanah gambut, jadi kebakaran bukan sahaja di permukaan tanah tapi juga berlaku dalam tanah.

"Walaupun kita nampak api sudah terpadam pada permukaan, namun kebakaran masih berlaku di dalam tanah yang mencecah kedalaman semeter," katanya pada Selasa.