JKN Kedah terima 25,000 dos vaksin fasa pertama

Dr Mohd Hayati
Dr Mohd Hayati
A
A
A

PENDANG - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menerima 25,000 dos vaksin Covid-19 bagi program fasa pertama imunisasi pandemik tersebut yang bakal bermula pada 26 Februari.

Exco Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, jumlah vaksin yang diterima itu adalah daripada lebih 300,000 dos vaksin yang tiba di negara ini pada Ahad.

Menurutnya, pemberian vaksin fasa pertama ini diutamakan kepada kumpulan barisan hadapan negara seperti petugas kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta kumpulan wakil rakyat.

"Perancangan kita di Kedah ini adalah terima 25,000 dos untuk kita berikan kepada kumpulan pertama iaitu barisan hadapan negara.

"JKN Kedah akan susun ke setiap pusat kesihatan dan ada dewan-dewan yang akan kita gunakan, misalnya di Dewan Lada, Langkawi, Dewan Wawasan (Jitra) dan pusat kesihatan yang berselerak di seluruh di negeri kedah," katanya ditemui pemberita di Pejabat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tokai, Pendang pada Ahad.

Dr Mohd Hayati berkata, semua dos vaksin yang diterima terlebih dahulu disimpan di tiga buah hospital yang diwartakan sebagai pusat pengumpulan vaksin di negeri itu sebelum diedarkan ke pusat-pusat kesihatan.

"Pihak JKN Kedah bersedia 100 peratus cuma dari segi logistik kita perlu susun betul-betul sebab apabila vaksin keluar dari pusat stor yang suhu -80 celcius ini dari tiga hospital yang diwartakan, vaksin hanya boleh bertahan dalam masa lima hari dalam suhu dua hingga lapan darjah celcius, kalau lebih daripada itu ia akan rosak," katanya.

Tiga hospital yang diwartakan di Kedah ialah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar; Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

Artikel Berkaitan: