Peruntukan RM5 juta bagi program EDL - Rafizi

Rafizi Ramli - Foto: Bernama
Rafizi Ramli - Foto: Bernama
A
A
A

KERAJAAN akan memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi Program Kepimpinan Digital Eksekutif (EDL) yang dijalankan dengan kerjasama strategik antara Kementerian Ekonomi melalui agensinya MyDIGITAL Corporation dan Asia School of Business /MIT Sloan Management, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

"Ini sebagai permulaan kos bagi menyediakan kemudahan diperlukan, dan selepas kohort pertama dijalankan pada akhir tahun ini iaitu November, kita akan mendapat gambaran kepada peruntukan yang diperlukan pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pemeteraian Program EDL pada Khamis, Rafizi berkata program selama tiga bulan yang menawarkan pengalaman pembelajaran dikendalikan oleh ASB dan MIT Sloan itu, adalah antara usaha kerajaan dalam membina ekonomi digital yang berdaya saing.

Menurutnya pengurusan kanan sektor awam dan swasta yang menyertai EDL akan mengikuti modul yang dikendalikan oleh rakan strategik teknologi untuk mengetahui bagaimana syarikat teknologi dunia dibangunkan dan diuruskan, terutamanya dalam menjana inovasi dan kreativiti.

"Antara rakan strategik bagi program ini adalah Amazon Web Services, Google Cloud, IBM, Microsoft, dan Shopee,” katanya.

Selain itu, Rafizi berkata, program ini dirangka untuk mendayai pengurusan tertinggi sektor awam dan swasta dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengemudi ekonomi digital, mengembangkan proses pendigitalan dalam sektor awam dan swasta serta mengharmonikan dasar kementerian-kementerian dan agensi kerajaan untuk memenuhi kehendak berhubung pendigitalan dan penggunaan teknologi.

Beliau berkata, ini berikutan kemajuan ekonomi digital memerlukan pemberdayaan sektor awam melalui pemodenan perkhidmatan awam menggunakan aplikasi teknologi dan data (govtech).

"Negara memerlukan kepimpinan kementerian-kementerian yang mempunyai kepakaran digital yang tinggi supaya dasar dan inisiatif kerajaan berteraskan pendekatan digital dan teknologi, terutamanya dalam melaksanakan peralihan kepada govtech,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Rafizi berkata, terdapat keperluan segera untuk menawarkan program kepimpinan digital kepada penjawat awam dan swasta di peringkat pengurusan tertinggi.

Permohonan kini dibuka kepada pihak yang berminat dan maklumat lanjut boleh dilayari di https://www.mydigital.gov.my/executive-digital-leadership-programme/. - Bernama