Kegiatan pornografi kanak-kanak tumpas

Danudet (tengah) didakwa memiliki lebih 500 juta fail gambar berkaitan eksploitasi seksual kanak-kanak. - Foto: Agensi
Danudet (tengah) didakwa memiliki lebih 500 juta fail gambar berkaitan eksploitasi seksual kanak-kanak. - Foto: Agensi
A
A
A

BANGKOK - Seorang ejen agensi permodelan kanak-kanak terkenal di Thailand ditahan atas pertuduhan melakukan serangan seksual dan pornografi di bawah kes berprofil tinggi membabitkan jenayah transnasional serta ribuan mangsa di seluruh dunia.

Jabatan Siasatan Khas Thailand (DSI) pada Selasa memaklumkan kegiatan tidak bermoral itu berjaya dibongkar susulan serbuan yang dilakukan ke atas Nene Modelling Agency di wilayah Pathum Thani di utara Bangkok.

Suspek dikenali sebagai Danudet Sangkaew, 22, yang menggunakan nama panggilan 'Nene'.

Penahanannya dibuat di bawah operasi panggilan uji bakat yang turut menemukan lebih 500 juta fail gambar berkaitan eksploitasi seksual kanak-kanak melibatkan 40 mangsa tempatan dan ribuan kanak-kanak daripada pelbagai negara.

Operasi itu dilancarkan selepas mendapat maklumat daripada Persekutuan Polis Australia pada tahun lalu dan pelbagai agensi antarabangsa.

"Ia adalah industri pornografi kanak-kanak dan kami berjaya menumpaskannya," kata Timbalan Pengarah Biro Hal Ehwal Luar dan Jenayah Transnasional di DSI, Khemachart Prakyhongmanee.

Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kesemua mangsa Danudet adalah kanak-kanak berusia antara enam dan remaja 15 tahun.

"Dia biasanya mendekati mangsa dengan cara berpura-pura mencari model dan memperdaya ibu bapa kanak-kanak terbabit," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Portfolio yang dirampas polis mendapati agensi itu telah 'bekerja' dengan lebih 8,400 model kanak-kanak dan aktor sejak 2013.