X

Kindly register in order to view this article
!

Jual nanas RM1 sebiji elak lambakan ketika PKP

Mohd Mazlan menunjukkan nanas yang telah dipetik di ladang di Kampung Parit Betak.
A
A

JOHOR BAHRU - Pekebun nanas di sini terpaksa menjual hasil tanaman mereka dengan harga RM1 sebiji bagi mengelakkan kerugian dan lambakan buah ekoran kekurangan permintaan.

Pekebun nanas, Ismail Basiran, 57, berkata, dia kini berdepan kerugian selepas 5,000 buah nanas morris dan josapine menjadi busuk kerana lewat dipetik sejak seminggu lalu.

Menurutnya, bagi mengelakkan kerugian lebih besar, dia kini perlu memastikan 20,000 buah nanas yang sudah matang untuk dipetik dapat dijual.

"Peraih dari Simpang Renggam beritahu tidak borong nanas dalam kuantiti yang banyak kerana tiada majlis perkahwinan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) ketika ini.

"Nanas morris dan josapine ini banyak digunakan dalam masakan. Tetapi sewaktu PKP 2.0 majlis keraian besar seperti majlis perkahwinan tidak boleh dilaksanakan. Keadaan ini mengganggu rantaian pemasaran nanas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Ismail menunjukkan nanas di ladang di Kampung Parit Haji Ali Darat, Parit Raja.
Ismail menunjukkan nanas di ladang di Kampung Parit Haji Ali Darat, Parit Raja.

Ismail dari Kampung Parit Haji Ali Darat, Parit Raja menanam kira-kira 200,000 buah nanas di atas tanah seluas lapan hektar sejak enam tahun lalu.

Ismail berkata, dia turut membuat promosi menerusi Facebook dan hasilnya amat baik apabila mendapat sambutan daripada orang ramai.

Sementara itu, pekebun nanas dari Kampung Parit Betak Pontian, Mohd Mazlan Khairul, 56, turut mengambil pendekatan sama dengan menjual nanas dengan harga RM1 sebiji.

Menurutnya, dia menanam kira-kira 13,000 biji nanas morris dan josapine di atas tanah seluas kira-kira tiga hektar.

"Saya membuat promosi jualan nanas di Facebook sejak tiga hari lalu dengan menawarkan harga RM1 sebiji berbanding harga sebelum ini RM1.50," katanya.

Bapa kepada tiga orang anak ini mengakui PKP kali ini cukup mencabar untuk memasarkan hasil tanamannya selepas lebih 10 tahun mengusahakannya.

"Walaupun tidak untung tetapi sekurang- kurangnya nanas tidak berlambak dan busuk. Ramai yang menghubungi saya untuk membeli buah nanas segar dari ladang.

"Kebanyakannya orang Pontian sendiri, tidak kurang juga yang membeli nanas untuk diberikan kepada keluarga dan rakan- rakan," katanya.

Kisah dua pekebun ini yang menjual nanas dengan harga murah tular di media sosial sejak Jumaat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!