126,000 rakyat terima suntikan vaksin sehari mulai 26 Februari

Adham (dua dari kanan) meninjau keadaan tempat tinggal warga asing di Senai pada Sabtu.
Adham (dua dari kanan) meninjau keadaan tempat tinggal warga asing di Senai pada Sabtu.
A
A
A

KULAI - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan seramai 126,000 rakyat di negara ini akan disuntik vaksin Covid-19 dalam tempoh sehari menerusi Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 bermula 26 Februari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi memastikan jangkaan tersebut dapat dicapai sebanyak 600 lokasi vaksinasi seluruh negara sudah ditetapkan dengan tujuh vaksinator (petugas menyuntik vaksin) akan disediakan di setiap lokaliti atau kawasan.

"Setiap vaksinator itu akan menyuntik vaksin Covid-19 dengan maksimum penerima seramai 30 individu setiap hari. ini bermakna bagi setiap lokaliti atau kawasan yang mempunyai tujuh vaksinator akan merekodkan jumlah penerima vaksin seramai 210 individu.

"Fasa pertama pada 26 Februari ini di mana penerimanya merupakan petugas barisan hadapan iaitu anggota KKM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan lain- lain yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas operasi bersepadu KKM, PDRM dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor ke penempatan pekerja warga asing di kawasan industri Senai pada Sabtu.

Menurut Adham, setiap penerima vaksin juga mempunyai jadual waktu masing-masing dan mereka tidak perlu menunggu lama termasuk untuk mengisi borang kerana ia sudah disiapkan lebih awal.

"Bagi fasa kedua, Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 dijangka akan bermula pada Mac ini. Penerima vaksin fasa kedua ini melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta mereka yang berisiko menghidap penyakit kronik termasuk diabetes dan darah tinggi," katanya.

Pada 3 Februari lalu, KKM dilaporkan sudah bersedia untuk melaksanakan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama sebaik bekalan vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Malaysia pada 26 Februari ini.

Artikel Berkaitan: