RT Covid-19 di Melaka tinggi berikutan 16 kluster aktif

Datuk Rahmad Mariman pada sidang akhbar berkaitan perkembangan Covid-19 pada Isnin. - Foto Bernama
Datuk Rahmad Mariman pada sidang akhbar berkaitan perkembangan Covid-19 pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 harian Melaka yang mencatatkan bacaan tertinggi negara iaitu 1.17 pada Ahad adalah disebabkan 16 kluster aktif yang dilaporkan di negeri ini sepanjang minggu lepas, kata Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata, daripada kluster itu, Kluster Industri Serkam dan Kluster Tembok Sungai Udang menjadi penyumbang kes positif Covid-19 tertinggi di Melaka ketika ini.

"Majoriti kes positif adalah daripada Kluster Industri Serkam iaitu 80 peratus, manakala Kluster Tembok Sungai Udang (10.7 peratus).

"Kita jangkakan terdapat sedikit peningkatan kes positif melibatkan Kluster Industri Serkam pada hari ini serta esok manakala kes kumulatif kluster itu telah mencecah 800 kes hingga semalam (Ahad)," katanya pada satu sidang akhbar di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan Rt Covid-19 harian Melaka akan mencatat penurunan dalam tempoh tiga hari lagi selepas saringan Kluster Industri Serkam selesai dilaksanakan.

Berdasarkan infografik yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Ahad, Melaka mencatatkan Rt Covid-19 harian tertinggi negara diikuti Selangor pada 1.10; Johor (1.09) dan Pulau Pinang (1.07).

Dalam perkembangan lain, Rahmad berkata, hanya kira-kira 10 peratus rakyat negeri ini yang menjalani kuarantin atau isolasi di rumah menandatangani akujanji atau borang deklarasi bagi membenarkan maklumat peribadi mereka dikongsi kepada pihak ketiga seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis.

Beliau berkata, maklumat pesakit berkenaan diperlukan bagi tujuan pemantauan dan penyaluran bantuan makanan untuk memastikan mereka tidak terputus bekalan makanan.

Artikel Berkaitan:

"Situasi ini menjadi masalah kepada kita kerana maklumat pesakit Covid-19 adalah terpelihara di bawah kerahsiaan maklumat rekod perubatan," katanya.

Katanya, sehingga Ahad, 230 pesakit positif Covid-19 kategori satu dan dua perlu menjalani kuarantin atau isolasi di rumah masing-masing.- Bernama