Beri keutamaan suntikan vaksin Covid-19 kepada guru

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) turut menyeru supaya guru diutamakan dalam menerima vaksin Covid-19 selepas petugas kesihatan dan golongan berisiko tinggi.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) turut menyeru supaya guru diutamakan dalam menerima vaksin Covid-19 selepas petugas kesihatan dan golongan berisiko tinggi.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas timbalan menteri pendidikan, Teo Nie Ching menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) memastikan guru antara kumpulan keutamaan bagi program imunisasi Covid-19.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, sejak sekolah dibuka semula Januari, terdapat beberapa insiden guru dilaporkan positif Covid-19.

“Ini menimbulkan banyak persoalan keselamatan. Ibu bapa perlu diyakini langkah-langkah yang sesuai diambil bagi melindungi anak mereka sebelum dibenarkan kembali ke sekolah.

“Guru mesti diutamakan supaya mereka kekal selamat," katanya dalam satu kenyataan.

Nie Ching berkata, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) turut menyeru supaya guru diutamakan dalam menerima vaksin Covid-19 selepas petugas kesihatan dan golongan berisiko tinggi.

Tambahnya, menteri pendidikan di Britain dan Ireland Utara menyokong supaya guru juga diutamakan untuk menerima vaksin.

“Tetapi di Malaysia, KPM masih tercari-cari untuk menjadi suara kepada guru. Saya gesa menteri menunjukkan kepimpinan dan kerajaan memulakan langkah pemulihan yang berkesan," menurut kenyataan itu.

Nie Ching berkata, ketika penutupan sekolah untuk pelajar bukan peperiksaan tidak dapat dielakkan, ia mempunyai banyak kesan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, impak itu akan dirasai bukan saja melalui hilangnya waktu belajar tetapi kurangnya perlindungan terhadap institusi yang ditawarkan sekolah seperti program makanan untuk pelajar keluarga berpendapatan B40, sokongan untuk kanak-kanak orang asli, dan 'kestabilan' yang ditawarkan sekolah untuk kanak-kanak dan ibu bapa.

“Sehingga hari ini, tiga isu kritikal yang akan menentukan kualiti pembelajaran di rumah iaitu akses ke gajet atau peranti yang sesuai, sambungan internet dan jalur lebar, dan kandungan yang mencukupi untuk TV pendidikan, sebahagian besarnya masih belum ditangani dan kurang,” katanya.