Henti lempar tuduhan tak berasas terhadap Agong

Al-Sultan Abdullah - Foto Fail Bernama
Al-Sultan Abdullah - Foto Fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Semua pihak diingatkan agar berhenti melemparkan tohmahan yang tidak berasas terhadap keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memperkenankan Proklamasi Darurat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong selepas baginda berpuas hati bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap kritikal dan perlunya pelaksanaan darurat selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.

“Proklamasi Darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah bertujuan untuk memberikan bidang kuasa tertentu kepada kerajaan untuk mengurus pandemik Covid-19 dengan lebih cepat, cekap dan berkesan.

“Tindakan serta-merta sedang diambil oleh kerajaan di bawah peruntukan Ordinan Darurat yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas mengenai pelaksanaan darurat dan pemasyhuran Ordinan Darurat dalam mengurus pandemik Covid-19, disiarkan di saluran televisyen dan media sosial rasmi kerajaan pada Khamis.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, proklamasi darurat tidak mempunyai tujuan lain selain daripada membendung penularan Covid-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat.

“Walaupun ada segelintir pihak yang cuba mencabar proklamasi darurat di mahkamah, saya percaya bahawa Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara amat memahami dan menghormati sistem serta proses perundangan negara.

“Sebagai ketua kerajaan, saya juga sentiasa menghormati sistem dan proses perundangan negara kita yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Artikel Berkaitan:

“Saya ingin ulangi komitmen saya bahawa saya akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja penularan wabak Covid-19 telah reda dan Pilihan Raya Umum (PRU) adalah selamat untuk diadakan,” jelasnya.

Pada 17 Januari lalu, media melaporkan bahawa pembangkang menyatakan akan mencabar langkah pengisytiharan darurat yang dibuat oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin di mahkamah.