Tiada rekod pelaburan ASB rugi

Dr Ahmed Razman - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Dr Ahmed Razman - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) tidak pernah merekodkan kerugian walaupun dividen yang diberikan mencatatkan penurunan pada kadar lima hingga empat peratus.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, anggapan bahawa pemegang unit terpaksa tanggung kerugian apabila kadar dividen yang diberikan menurun adalah tidak benar.

"Mungkin mereka menganggap kadar dividen tinggi sebelum ini seperti tujuh, lapan dan sembilan peratus dan kemudiannya turun lima kepada empat peratus, jadi itu dah rugi tapi sebenarnya tidak.

"Kalau kita bandingkan dengan pulangan akaun simpanan, kadar dividennya mungkin dalam satu ke dua peratus. Jadi kalau kadar dividen ASB turun kepada empat atau lima peratus pun, sebenarnya ia masih lagi untung," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-229 bertajuk 'Dividen Rendah: ASB Masih Berbaloi?' yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian malam Selasa.

Dr Ahmed Razman mengulas mengenai pelaburan ASB pada Wacana Wacana Sinar Edisi Ke-229 bertajuk 'Dividen Rendah: ASB Masih Berbaloi?' Yabg dikendalikan Shahril selaku moderator. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Dr Ahmed Razman mengulas mengenai pelaburan ASB pada Wacana Wacana Sinar Edisi Ke-229 bertajuk 'Dividen Rendah: ASB Masih Berbaloi?' Yabg dikendalikan Shahril selaku moderator. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Wacana itu menggandingkan beliau bersama seorang lagi panelis yang juga Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid dan dikendalikan moderator, Shahril Sarapudin.

Ahmed Razman memaklumkan, rugi sebenarnya membawa maksud kadar dividen yang diterima adalah negatif.

Artikel Berkaitan:

"Tapi kalau simpanan itu dijamin kerajaan dan nilai unit itu kekal satu ringgit maka tidak ada risiko untuk rugi apabila melabur dalam ASB," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, jika dibandingkan dividen yang diberikan ASB dengan dividen dari mana-mana simpanan di bank, kadar yang diberikan lebih kompetitif dan berbaloi.

Menurutnya, apa yang perlu difahami walaupun ASB adalah unit amanah tetapi ia mempunyai ciri-ciri seperti akaun simpanan yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa sahaja.

"Jadi disebabkan dividen ASB patut dibandingkan dengan unit-unit simpanan atau jenis simpanan yang lain sebab ciri-cirinya kita menyimpan dan kita boleh keluarkan bila-bila masa.

"Apa yang kita perlu fahami juga, selagi pulangan dividen ASB lebih dari kadar inflasi di mana kadarnya sekarang mungkin lebih 1.2 peratus bermakna kita dapat lebih daripada yang sepatutnya," katanya.

Ahmed Razman berkata, pulangan dividen ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 sebanyak 4.25 peratus seunit serta pembayaran khas ehsan 0.75 peratus seunit menunjukkan ASB masih mampu memberikan pulangan yang positif walaupun dalam suasana mencabar sepanjang dua tahun kebelakangan ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Ahmad Razman berkata, berdasarkan perbandingan yang dilakukan, purata pulangan dividen yang diterima di bawah ASB adalah lebih tinggi berbanding instrumen pelaburan lain sejak 20 tahun lalu.

"Untuk tempoh 2010 hingga 2020, ASB memberi purata pelaburan yang paling tinggi berbanding dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji (TH). Kalau tidak ada bonus pun tetap tinggi.

"Kalau ada bonus, puratanya 7.57 peratus untuk 10 tahun dan kalau ada bonus 6.74 peratus. Kalau TH, dengan ada bonus pun hanya enam peratus dan KWSP pula 6.17 peratus," katanya.

Ahmed Razman menjelaskan, sekiranya simpanan itu lebih lama misalnya dalam tempih 20 tahun, purata dividennya lebih tinggi iaitu 8.29 peratus dengan bonus berbanding TH sebanyak 5.3 peratus dan KWSP 5.59 peratus.

"Jadi jika mahu mendapatkan pulangan yang konsisten dan tinggi dalam tempoh masa lama, ASB adalah pilihan yang bijak," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, negara pada tahun ini dijangka akan mengalami pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 6.5 hingga 7.5 peratus selain ekonomi dijangka meningkat dengan pantas sekiranya berjaya melandaikan keluk jangkitan Covid-19 dengan segera.

"Kalau memang betul pertumbuhan positif negara tahun ini dapat dicapai, saya yakin dividen ASB untuk tahun ini akan meningkat dan tinggi seperti dulu.

"Saya yakin ASB akan kekal memberikan pulangan yang positif setiap tahun kerana ia diterajui oleh pengurus dana amanah yang berpengalaman tinggi dalam bidang pelaburan," katanya.

Justeru itu, beliau menyeru pelabur mengekalkan pelaburan dalam ASB kerana ia juga dijamin kerajaan.