Penarikan pemakluman pilihan raya semula tiga kerusi DUN kosong tidak pernah berlaku – Pakar Perlembagaan

Shamrahayu (tengah) sebagai panelis dalam Wacana Sinar bertajuk Kemelut Politik Perlis dan Hidup-Mati PN di Studio F Karangkraf pada Rabu. Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid
Shamrahayu (tengah) sebagai panelis dalam Wacana Sinar bertajuk Kemelut Politik Perlis dan Hidup-Mati PN di Studio F Karangkraf pada Rabu. Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid
A
A
A

SHAH ALAM - Penarikan balik pemakluman berhubung keperluan mengadakan pilihan raya semula bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikosongkan seperti mana berlaku di Perlis tidak pernah berlaku sebelum ini.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, perkembangan tersebut boleh dianggap sebagai satu peristiwa baharu yang memerlukan penelitian lebih mendalam dari sudut perundangan.

"Jika kita lihat pada peringkat Parlimen, yang mana (apabila) speaker Dewan Rakyat memutuskan bahawa kerusi itu tidak kosong, maka tidak ada pilihan raya.

"Jika di Kelantan sebelum ini, speaker DUN menyatakan ia kosong. Di Perlis (umum) kosong, selepas itu tidak kosong. Jadi, ini satu peristiwa baharu yang mungkin kita perlu mencari status perundangan yang baru.

"Tetapi, secara umum saya boleh menyatakan bahawa ini adalah kuasa speaker untuk menentukan kerusi itu kosong ataupun untuk menarik balik," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai panelis dalam Wacana Sinar bertajuk Kemelut Politik Perlis dan Hidup-Mati PN di Studio F Karangkraf pada Rabu.

Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub

Terdahulu, DUN Perlis menarik balik pemakluman berhubung keperluan mengadakan pilihan raya semula bagi tiga kerusi DUN yang dikosongkan secara luar jangka.

Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan mutakhir termasuk jaminan Pas untuk terus komited bersama kerajaan negeri Perlis di bawah Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tiga kerusi yang terlibat ialah DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji yang sebelum ini diumumkan kosong berikutan ketidaklayakan wakil rakyat Pas di bawah Perkara 50A(1)(a)(ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis/Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022.

Bagaimanapun, Shamrahayu berpandangan, kuasa yang ada pada speaker perlu digunakan secara berhemah kerana terdapat kebimbangan ia boleh disalah guna sekiranya penentuan status kekosongan sering berubah.

Beliau melahirkan kebimbangan bahawa jika perkara terbabit berlaku berulang kali, ia boleh memberi kesan kepada kestabilan politik serta menimbulkan persoalan terhadap keabsahan keputusan DUN.

Tambahnya, sebarang penarikan balik atau penetapan semula status kerusi juga berpotensi dicabar dari sudut undang-undang sekiranya terdapat pihak yang tidak berpuas hati.

"Jadi, ada persoalan undang-undang mungkin kalau ada pihak tidak berpuas hati dengan penarikan balik kekosongan itu, (hal) ini (menjadi) satu isu undang-undang yang kita boleh teroka lagi, kita boleh lihat dengan lebih panjang lagi, " ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, secara umum pilihan raya tidak perlu diadakan selepas DUN mencapai usia tiga tahun dan baki penggal kurang daripada dua tahun,

Bagaimanapun, beliau memberitahu, pilihan raya boleh dilaksanakan sekiranya kekosongan tersebut menjejaskan keupayaan DUN untuk membuat keputusan.

"Sekiranya kekosongan itu menyebabkan kesukaran untuk menentukan keputusan (dan) apa juga keputusan DUN, maka boleh dilaksanakan pilihan raya walaupun pada umumnya, jika mencecah usia tiga tahun dan baki kurang dua tahun tidak perlu ada pilihan raya," jelasnya lagi.

Ringkasan AI

  • Penarikan balik pemakluman pilihan raya semula bagi tiga kerusi DUN Perlis adalah peristiwa baharu
  • Kuasa speaker DUN menentukan status kekosongan kerusi
  • Keputusan tarik balik dibuat selepas pertimbangan jaminan Pas bersama kerajaan negeri
  • Kekhuatiran tentang penggunaan kuasa speaker secara berhemah dan potensi penyalahgunaan
  • Pilihan raya tidak perlu diadakan jika usia DUN mencapai tiga tahun dengan baki penggal kurang dari dua tahun kecuali kekosongan mempengaruhi keputusan DUN

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!