Pas sukar bekerjasama, suka ‘poligami politik’

Mohammad Tawfik. Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid
Mohammad Tawfik. Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid
A
A
A

SHAH ALAM - Pas disifatkan suka 'berpoligami' politik namun sukar bekerjasama dalam konteks gabungan walaupun sudah lama berada dalam arena politik negara.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, pengalaman panjang parti itu dalam landskap politik nasional tidak semestinya menjadikan parti berkenaan bertahan lama dan lebih mudah menyesuaikan diri dalam kerangka kerjasama gabungan.

"Tahun 1970, bersama dengan BN akhirnya berpisah kemudiannya bersama dengan Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR) dan terkini Perikatan Nasional (PN), selain sebelum ini Muafakat Nasional (MN).

"Jadi, saya lihat Pas ini agak sukar duduk dalam sebuah gabungan kerana ketegasan perjuangannya yang sukar untuk menerima pandangan-pandangan yang tidak sealiran dan akhirnya menyebabkan Pas mengambil pandangan atau jalan yang berlainan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai panelis dalam Wacana Sinar bertajuk Kemelut Politik Perlis dan Hidup-Mati PN dihoskan oleh Ismail Adnan di Studio F Karangkraf pada Rabu.

Beliau turut berpandangan, ketegasan tersebut dilihat bersifat ekstrem seolah-olah pandangan pihak lain dianggap tidak betul, sedangkan dalam konteks politik Malaysia, sesebuah gabungan memerlukan penerimaan terhadap pandangan bersama.

Tambahnya, dalam sebuah gabungan politik, tidak boleh wujud sikap menjadi ‘abang besar’ kerana perkara itu boleh menjejaskan kestabilan dan kelangsungan kerjasama.

"Kita ini bekerja dalam sebuah gabungan akhirnya kita perlu menerima pandangan dan kita tidak boleh jadi abang besar dalam konteks gabungan politik (dan) sebab itulah Pas tidak mampu bertahan lama dalam konteks gabungan itu sendiri," ujarnya lagi.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa ketidakstabilan gabungan politik bukan hanya melibatkan Pas semata-mata, sebaliknya turut berlaku kepada gabungan-gabungan lain yang juga gagal bertahan lama.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dominasi yang terlalu jelas atau terlalu luar biasa oleh mana-mana pihak dalam gabungan menjadi antara punca utama mengapa sesebuah kerjasama politik tidak mampu bertahan sehingga hari ini.

Ringkasan AI

  • Pas sukar bekerjasama dalam gabungan walaupun lama dalam politik negara
  • Bergabung dengan BN, BA, PR, PN dan MN tapi sering berpisah kerana ketegasan perjuangan
  • Sikap tidak menerima pandangan berbeza menyebabkan Pas sukar bertahan dalam gabungan
  • Ketidakstabilan gabungan politik bukan hanya melibatkan Pas tetapi juga gabungan lain
  • Dominasi berlebihan dalam gabungan menjadi punca utama kerjasama politik gagal bertahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!