Sumber air semakin keruh dipercayai akibat aktiviti lombong

Tinjauan dilakukan ke kawasan sumber air yang menjadi punca bekalan air di tiga kampung di Jerantut pada Isnin.
Tinjauan dilakukan ke kawasan sumber air yang menjadi punca bekalan air di tiga kampung di Jerantut pada Isnin.
A
A
A

JERANTUT - Kira-kira 500 penduduk membabitkan tiga buah kampung di daerah ini berdepan risiko selepas sumber air bersih mereka semakin keruh sejak beberapa minggu lalu didakwa akibat aktiviti perlombongan di Hutan Simpan Ulu Cheka.

Tiga kampung terbabit iaitu Kampung Berau, Kampung Perlok dan Kampung Lata Gol telah menggunakan sumber air semulajadi itu sejak puluhan tahun lalu.

Bagi penduduk Kampung Berau, Suhaimi Sam@ Othman, 50, mendakwa, mereka terpaksa menggunakan air tersebut walaupun semakin keruh hingga berlumpur.

"Kami memang bergantung kepada sumber air ini untuk aktiviti harian termasuk aktiviti perikanan.

"Buat masa ini, kami terpaksa menggunakan air tersebut dan telah biasa guna air tanpa klorin sejak dahulu lagi," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Isnin.

Air yang semakin keruh didakwa berpunca daripada aktiviti pelombongan berhampiran kawasan Hutan Simpan Ulu Cheka.
Air yang semakin keruh didakwa berpunca daripada aktiviti pelombongan berhampiran kawasan Hutan Simpan Ulu Cheka.

Mengharapkan tindakan segera dapat diambil, Suhaimi dan penduduk yang lain gusar dengan risiko kesihatan yang bakal dihadapi jika situasi berlarutan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zuridan Mohd Daud menyarankan agar lombong tersebut dipindahkan ke lokasi lebih sesuai.

Artikel Berkaitan:

Zuridan Mohd Daud
Zuridan Mohd Daud

Menurutnya, lokasi sedia ada dikhuatiri mengundang risiko keselamatan khususnya buat penduduk yang menjadikan empangan tadahan air semulajadi di kawasan terbabit sebagai sumber bekalan air buat mereka selama ini.

"Kawasan sekarang risikonya sangat tinggi selepas saya melihat sendiri lokasi itu hari ini (Isnin)," katanya.

Isu terbabit juga mendapat perhatian Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selepas Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang turun ke lokasi untuk siasatan pada Sabtu bersama Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Perhutanan serta Jabatan Tanah dan Galian.