500 penduduk gesa kerajaan selesai isu pemilikan tanah adat Sabah

Hishamuddin berarak bersama penduduk untuk menyampaikan memorandum di hadapan Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.
Hishamuddin berarak bersama penduduk untuk menyampaikan memorandum di hadapan Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kira-kira 500 penduduk kampung dari lima daerah bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berkumpul bagi menyerahkan memorandum kepada Jabatan Ketua Menteri Sabah di hadapan Menara Kinabalu di sini pada Selasa.

Penyerahan memorandum itu adalah bagi menggesa kerajaan membantu menyelesaikan isu pemilikan tanah adat di Sabah.

Difahamkan penduduk yang terlibat adalah membabitkan dari daerah Keningau, Kundasang Ranau, Sandakan, Sapulut dan Tongod yang datang 'berkampung' di Kota Kinabalu sejak Isnin untuk menyerahkan memorandum berkenaan.

Sinin Andikun, 66, dari Keningau, merayu supaya kerajaan Sabah mengukur tanah yang telah diberikan sebelum ini menerusi geran komunal untuk dijadikan sebagai tanah adat.

Sinin
Sinin

"Geran komunal sudah dibubarkan sejak 2018 dan kini rata-rata penduduk tidak tahu apa status tanah yang telah diberikan kepada kami kerana sebelum ini penduduk telah memeterai perjanjian dengan syarikat yang sepatutnya menguruskan tanaman serta dijanjikan dividen kepada penduduk.

"Namun sejak 2012 dan sehingga kini, kami tidak pernah menikmati dividen yang dijanjikan dengan alasan syarikat mengalami kerugian.

"Jadi di sini kami merayu supaya kerajaan mengukur tanah berkenaan untuk dijadikan sebagai geran individu milik sepenuhnya untuk penduduk," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas menyertai perhimpunan menyerahkan memorandum itu di sini.

Katanya lagi, jika penduduk diberikan hak geran tanah adat itu sekali gus memudahkan mereka mengurus tanah berkenaan sendiri.

Hishamuddin (kiri) ketika menyerahkan memorandum kepada wakil Pejabat Ketua Menteri Sabah di hadapan Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.
Hishamuddin (kiri) ketika menyerahkan memorandum kepada wakil Pejabat Ketua Menteri Sabah di hadapan Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.

"Ketika ini kami tidak boleh mengurus atau mengambil hasil daripada tanaman sawit kerana ia di bawah syarikat berkenaan.

"Jika diberikan geran kepada kami, ini akan memudahkan penduduk mengurus tanaman termasuk membolehkan kami memohon mendapatkan benih tanaman dan baja untuk memudahkan aktiviti pertanian secara sendiri," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Kaat Sairup, 55, mendakwa mereka hanya diberikan pinjaman sebanyak dua kali oleh pihak syarikat berkenaan tetapi tidak pernah menikmati dividen yang dijanjikan.

Kaat
Kaat

"Pinjaman pertama diberikan sebanyak RM300 ketika perjanjian dimeterai supaya tanah itu diusahakan pada 2012 dan kedua pula sebanyak RM500 pada 2021 di mana penduduk perlu membayarnya semula kerana itu memang pinjaman.

"Tetapi dari segi dividen, kami tidak pernah menerimanya dan akhirnya penduduk hanya gigit jari. Jika mengikut perjanjian kami diberi dividen pembahagian sebanyak 30 peratus untuk penduduk dan syarikat 70 peratus.

"Sebab itu kami tidak berpuas hati dengan syarikat berkenaan jadi berharap pihak kerajaan dapat masuk campur supaya penduduk mendapatkan geran tanah 'native titles' (NT)," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim memaklumkan tujuan memorandum itu dihantar bagi mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Ketua Menteri berhubung isu pemansuhan geran komunal dan usaha untuk memberi geran NT kepada penduduk kampung tidak dilaksanakan.

Hishamuddin (kanan) ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum di hadapan Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.
Hishamuddin (kanan) ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum di hadapan Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.

"Kenapa pajakan kecil diberikan terus kepada syarikat sebab itu kita hadir untuk bertanya dengan Jabatan Ketua Menteri dan seterusnya memohon penjelasan.

"Sedangkan semua maklum di bawah Ordinan 15 tanah negeri Sabah mengatakan bahawa mana-mana penduduk kampung yang telah mengusahakan tanah tersebut dengan bercucuk tanam lebih daripada tiga tahun mereka mempunyai hak kepentingan dari sudut permohonan NT atau tanah adat," katanya.

Sebelum itu, penyerahan memorandum berjalan dengan lancar apabila ia diterima oleh wakil daripada Pejabat Ketua Menteri di lokasi yang sama.